Didier Deschamps mendedahkan dia tidak terkejut melihat kualiti luar biasa yang dipamerkan oleh Kylian Mbappe sepanjang kempen Piala Dunia yang menyaksikan Perancis menamatkan saingan dengan bergelar juara.

Perancis menundukkan Croatia 4-2 di pentas final untuk menjulang trofi terbesar bola sepak itu buat kali kedua, sambil Mbappe sendiri meletakkan dirinya dalam senarai penjaring dengan satu gol.

Bagaimanapun, aksi paling menarik perhatian daripada pemain berusia 19 tahun itu sepanjang di Russia adalah sewaktu mencatat dua gol dalam kemenangan 4-3 ke atas Argentina dalam pusingan kedua, sekali gus dikatakan persembahan individu terbaiknya.

Mbappe meraih anugerah Pemain Muda Terbaik di atas persembahannya, namun Deschamps lebih terkejut dengan kebijaksanaan yang dipamerkan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu berbanding kesan yang diberikan.

"Saya tidak terkejut. Menjadi tajam dan sangat berkesan pada usia 19 tahun, ia sesuatu yang luar biasa," kata Deschamps.

"Mbappe sangat bijak. Salah satu perkara yang menarik diperkatakan adalah 'saya tidak boleh bercakap mewakili pasukan ini'.

"Walaupun mempamerkan kualiti hebat di atas padang, dia sedar bahawa diri dia tidak dapat menyesuaikan diri dengan sesetengah situasi seperti pemain lain," katanya.

Walaupun bergelar juara, corak permainan pragmatik telah membuatkan Perancis menerima kritikan sehingga Deschamps dikatakan gagal mendapatkan aksi terbaik daripada barisan pemainnya yang sangat berbakat.

Namun, pengendali itu tetap menganggap Perancis tidak boleh dipandang sebagai pasukan yang bertahan.

"Ramai orang bercakap tentang pasukan yang bertahan? Kami menjaringkan 14 gol, termasuk empat jaringan ketika final, 11 ketika pusingan kalah mati.

"Ketika 2010, Sepanyol hanya mencatat lapan gol. Realitinya, Perancis lebih baik berbanding pasukan lain."