Ousmane Dembele dijangka kekal di Barcelona walaupun terdapat minat daripada kelab lain, kata ejennya.

Pemain berusia 22 tahun itu telah dikaitkan dengan penghijrahan meninggalkan juara LaLiga itu selepas laporan mencadangkan kelab tersebut sedang berusaha untuk mendapatkan kembali khidmat Neymar daripada Paris Saint-Germain.

Bagaimanapun, ejen pemain sayap skuad kebangsaan Perancis itu, Moussa Sissoko, berkata Dembele akan kekal di Barcelona.

"Bermain bersama kelab seperti Barcelona mampu membantu meningkatkan mutu permainan mana-mana pemain," kata Sissoko.

"Dembele buat masa ini 1,000 peratus kekal sebagai pemain Barcelona dan menegaskan keinginannya untuk terus bersama pasukan."

Dembele dijangka terlepas lima minggu pertama aksi bersama Barcelona -- yang mengalami kekalahan 1-0 kepada Athletic Bilbao, Jumaat lalu -- selepas mengalami kecederaan hamstring.

Masalah kecederaan telah merencatkan musim pertamanya selepas berhijrah daripada Borussia Dortmund dengan yuran perpindahan EUR105 juta (RM486 juta) pada Ogos 2017 manakala dia meledak 14 gol dalam 42 perlawanan bagi musim 2018-19.

Bagaimanapun, Dembele masih lagi mahu membuktikan kebolehannya bersama Barcelona di sebalik terpalit dengan masalah kecederaan.

"Saya mahu menjelaskan di sini bahawa Dembele tidak memiliki perancangan untuk berhijrah," tambah Sissoko.

"Khabar angin mengenai masa depannya telah menjadi perbualan utama sejak beberapa bulan lalu, namun ia tidak menjejaskan pendiriannya. Dembele berasakan dia bersama kelab terbaik dan berazam untuk membuktikan kebolehannya."