Ousmane Dembele berdepan kemungkinan terpaksa direhatkan gara-gara kecederaan paha selepas disahkan oleh Barcelona.

Juara bertahan LaLiga itu menjangkakan mereka bakal beraksi tanpa Dembele selama lima minggu.

"Pemeriksaan perubatan mendapati Dembele telah mengalami kecederaan di bahagian paha kiri," kata wakil kelab.

"Pemain Perancis itu dijangka akan direhatkan selama lima minggu."

Dembele, 22, beraksi selama 90 minit sewaktu Barca memulakan kempen mempertahankan gelaran LaLiga dengan kekalahan 1-0 di tangan Athletic Bilbao, Jumaat lalu, tetapi melalui episod kecederaan berulang sejak berhijrah ke Camp Nou daripada Borussia Dortmund pada 2017.

Pemain sayap berharga EUR105 juta (RM486 juta) itu memulakan musim pertamanya di Catalonia dengan kecederaan setelah mengalami masalah serius di bahagian paha dan kini melalui perkara sama buat kali keempat.

Barcelona turun tanpa Lionel Messi sewaktu berdepan Bilbao tatkala bintang sensasi itu sedang pulih daripada kecederaan betis sambil rakan senegara Dembele, Antoine Griezmann, gagal mencetak sebarang gol dalam penampilan pertama bersama The Blaugrana.

Skuad kendalian Ernesto Valverde itu akan melayan kunjungan Real Betis pada hujung minggu ini.