Barcelona mungkin masih mampu menjulang dua kejuaraan domestik musim ini tetapi bekas tonggak Blaugrana, Deco, berasakan bahawa Ernesto Valverde tetap berada di bawah tekanan setelah disingkirkan Liverpool daripada Liga Juara-Juara Eropah.

Valverde menjulang trofi LaLiga dan Piala Raja Sepanyol dalam kempen pertamanya musim lalu dan setelah mengekalkan gelaran liga, pasukan kendaliannya itu berpeluang untuk mencipta kejayaan sama sekiranya menewaskan Valencia dalam aksi final Sabtu ini.

Namun, posisi pengendali itu tetap tergugat selepas dimalukan Liverpool sebelum tersingkir daripada saingan Liga Juara-Juara musim ini.

Walaupun meraih kelebihan 3-0 daripada aksi pertama berdepan Liverpool, Barca tunduk 4-0 dalam saingan timbal balik di Anfield, menyebabkan Deco tidak pasti mengenai masa depan Valverde.

"Saya tidak tahu mengenai tekanan kerana di Barca, terlalu banyak," kata Deco.

"Apabila kejohanan bermula, salah sebuah pilihan saya adalah Liverpool kerana saya tahu mereka begitu kuat, malah lebih hebat berbanding musim lalu.

"Namun, mereka berdepan masalah di peringkat permulaan ketika saingan kumpulan, kemudian meningkat lebih baik.

"Sudah tentu selepas keputusan 3-0 di Camp Nou, tiada siapa menyangka Liverpool dapat melakukannya, lebih-lebih lagi tanpa Mohamed Salah dan Roberto Firmino.

"Sukar buat Barca kerana ia adalah kekalahan yang perit. Tewas 4-0 di tangan Liverpool, ia bukan perkara normal."

Deco yang menyarung jersi Barcelona bagi tempoh 2004 sehingga 2008, memenangi dua kejuaraan LaLiga dan menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah bagi musim 2005-06.

Dia percaya kekalahan di tangan Liverpool pastinya akan memberi kesan kepada mana-mana pengurus.

"Saya tahu Barcelona sangat tertekan, setiap tahun mereka perlu menang," tambahnya.

"Saya tidak tahu apa yang berlaku. Ia sukar, bukan hanya buat Valverde tetapi setiap pengurus akan berasa begitu dalam keadaan tersebut."