Daniele De Rossi menyeru kepada peminat Roma supaya memperbaiki hubungan mereka dengan Aleksandar Kolarov menjelang pertembungan Liga Juara-Juara (UCL) dengan Porto, awal pagi esok.

Kolarov dikritik hebat berikutan aksi buruknya dalam kekalahan 7-1 dalam kempen Coppa Italia di tangan Fiorentina bulan lalu sehingga kawasan berhampiran rumahnya diconteng.

Setelah dicemuh ketika seri 1-1 dengan AC Milan, empat hari selepas bertemu Fiorentina, bekas pemain Lazio itu melakukan tunduk hormat kepada penyokong ketika menyumbat gol dalam kemenangan 3-0 di Chievo, Sabtu lalu.

Pengurus Roma, Eusebio Di Francesco, selepas perlawanan Serie A itu berkata ia merupakan isyarat permohonan maaf daripada Kolarov, bukannya tindak balas berbentuk sindiran terhadap situasi semasa.

Menjelang pertemuan pertama di Stadio Olimpico, De Rossi yang memiliki pengaruh besar menyatakan sokongannya kepada rakan sepasukannya dengan memuji sikap profesionalisme Kolarov dengan melabelnya sebagai "saudara".

"Sekiranya perselisihan kecil ini diperbaiki, sayalah orang yang paling bahagia di dunia kerana berasakan saya adalah sebahagian daripadanya memandangkan saya menyayangi peminat Roma dan mereka sentiasa mempertahankan dan melindungi saya," kata pemain tengah itu.

"Aleksandar bagaikan seorang saudara kepada saya. Apa yang saya boleh beritahu peminat ialah: anda selalu mempercayai saya dan apabila saya mengatakan Kolarov adalah seorang yang amat profesional dan memberi tumpuan kepada apa yang dilakukannya, maka buktikanlah sekarang.

"Saya tidak mengatakan Kolarov adalah seorang Romanista sejak kecil lagi. Saya ingin mengatakan bahawa dia sentiasa memberikan yang terbaik, tidak pernah terlepas sesi latihan dan sering bermain dalam keadaan yang sukar.

"Saya lebih suka mempunyai seseorang sepertinya daripada mereka yang mencium jersi serta mengeluarkan ayat-ayat manis, namun tidak berhenti ketika peminat meminta tanda tangan atau menarik muka apabila diminta memikul peranan yang berbeza.

"Kolarov merupakan seorang pemain yang amat profesional seperti beberapa orang yang saya kenali.

"Peminat harus dihormati dan kadangkala memahami apabila berlakunya keputusan buruk yang membuatkan semua pihak cemas. Untuk mengukuhkan hubungan ini, kami berpeluang untuk melakukannya esok dan saya pasti akan menjadi orang paling gembira sekiranya ia berlaku."

De Rossi membantu Roma mara ke separuh akhir UCL tahun lalu dan akan menginjak usia 36 tahun sebelum permulaan musim 2019-20. Begitupun, dia belum lagi bercadang untuk bersara.

"Saya selalu mengatakan bahawa jika saya dalam keadaan cergas, saya akan terus bermain. Rakan sepasukan dan pengurus saya tidak tahu betapa pentingnya mereka buat saya," katanya ketika ditanya tentang masa depannya.

"Dalam tiga musim yang lalu, mereka membuat saya berasa penting. Saya tidak pernah mempunyai perasaan seperti ini dalam kerjaya saya sebelum ini.

"Kami memperagakan persembahan yang baik tetapi ia jadi begitu kerana pemain berasa penting dan anda pula dalam keadaan cergas. Jadi, semuanya menjadi mudah.

"Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kerana mereka membuatkan saya berasa amat diperlukan ketika saya hanya mampu menjadi pemerhati dalam tiga bulan terakhir."