Pengarah Teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Peter De Roo, mengambil pendekatan 'kunci mulut' mengenai pemilihan Brad Maloney bagi menggantikan tempat Bojan Hodak sebagai ketua jurulatih skuad B-19 negara.

Nama Maloney disebut-sebut untuk menjadi pengganti buat Hodak selepas FAM tidak melanjutkan kontrak pengendali dari Croatia itu yang berakhir 31 Julai depan.

Ia susulan badan induk itu mahu memastikan falsafah bola sepak skuad negara diselaraskan mengikut acuan yang sama di semua peringkat.

Tatkala Maloney dilihat bukan calon asing berdasarkan kapasitinya sebagai penolong jurulatih pasukan B-23 negara, Dee Roo mengambil pendekatan selamat untuk tidak mengulas lanjut mengenai situasi itu.

"Saya telah menjelaskan bahawa kami akan melihat calon dari dalaman. Lebih banyak nama telah disebut dan jika ada perkembangan yang dicapai, anda orang pertama kami beritahu," katanya.

Bagaimanapun, bekas pengarah teknikal Pusat Kecemerlangan Persekutuan Bolasepak Australia itu mengakui kriteria utama yang diperlukan FAM adalah setiap jurulatih mempunyai pendekatan yang sama antara satu sama lain.

"Apa yang saya dapat lihat daripada skuad kebangsaan, terdapat banyak pengasingan, termasuk daripada segi corak permainan. Jadi, kami perlu menekankan aspek itu," katanya.