De Ligt terus dapat sokongan pengurus Belanda 

Oleh Staff Writer 13 Oktober 2019
De Ligt terus dapat sokongan pengurus Belanda 
Ronald Koeman mempertahankan Matthijs de Ligt sambil menuntut pertahanan tengah Belanda itu mengubah corak permainannya di Juventus.

Bekas kapten Ajax itu telah membuat permulaan yang goyah pada musim ini, baik untuk kelab mahupun negaranya, selepas menyertai juara Serie A tersebut.

Kesilapannya memberi ruang buat Ireland Utara untuk membuka jaringan ke atas Belanda kelmarin, selepas Josh Magennis mengatasinya di udara.

Ia adalah kes terbaru berhubung beberapa kesilapan pemain berusia 20 tahun itu dalam membuat keputusan, namun pengurus skuad Oranje itu menawarkan sokongan kepada De Ligt untuk bangkit. 

"Jelas sekali dia harus membuat perubahan dalam cara permainannya di kelab," kata Koeman kepada pemberita.

"Ia kadang-kadang boleh menjejaskan keyakinan pemain tetapi Matthijs mendapat keyakinan penuh daripada kami dan saya yakin bahawa pada akhirnya, dia akan menjadi lebih baik."

Belanda akan beraksi tanpa Memphis Depay ketika menghadapi Belarus awal pagi esok selepas penggempur itu meledak dua jaringan dalam kebangkitan membenam Ireland Utara.

"Terlalu besar risikonya untuk mempertaruhkannya," kata pengendali itu mengenai situasi Depay, yang telah dipinggirkan kerana masalah paha.

"Sudah tentu ia sesuatu yang malang apabila kami terpaksa melepaskan pemain seperti ini tetapi kami bernasib baik mempunyai penyerang lain yang bagus juga.

"Kami telah membuat keputusan untuk memilih penyerang tambahan. Kami akan bermain dengan tiga penyerang esok dan meletakkan tiga pemain di belakang mereka."

Keadaan padang di Minsk menjadi tajuk utama tetapi Koeman tidak peduli tentang permukaan di Stadium Dinamo itu. 

"Saya telah melihatnya tetapi ia tidaklah begitu mengganggu saya," katanya.

"Ia tidaklah begitu penting memandangkan kami sedang berlatih di padang itu."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen