Juventus sah menandatangani pertahanan berpotensi besar, Matthijs de Ligt, daripada Ajax dengan bayaran pendahuluan €75 juta (RM347.1 juta) menerusi kontrak lima tahun, demikian disahkan juara Serie A itu.

Pertahanan remaja itu bersetuju dengan terma peribadi yang ditetapkan awal bulan ini dan melengkapkan ujian kecergasannya kelmarin selepas Juve komited untuk meningkatkan tawaran awal mereka yang dilaporkan bernilai €50 juta (RM231.4 juta).

Nilai De Ligt melonjak tinggi selepas dua musim memberangsangkan dalam pasukan utama Ajax di mana pemain berusia 19 tahun itu menjadi kapten pasukan dan salah seorang pemain muda yang paling mencuri tumpuan dalam dunia bola sepak.

Barcelona, Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG) pernah dikaitkan berminat untuk mendapatkan pemain kebangsaan Belanda itu sebelum Bianconeri memastikan dia menjadi pemain ketujuh yang ditandatangani mereka musim ini.

Juve akan membayar €75 juta (RM347.1 juta) dalam tempoh lima tahun dengan bayaran tambahan €10.5 juta (RM48.60 juta).

Selaku pemain tengah dengan kekuatan mengarah dan kemahiran teknikal yang tinggi, De Ligt menjadi semakin terkenal selepas membantu Ajax mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Walaupun disingkirkan Tottenham Hotspur di peringkat itu, dia sebelumnya membintangi aksi menakjubkan untuk Ajax, termasuk ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas Juventus dalam suku akhir.

Dengan kemasukan De Ligt, Juve kini mempunyai pewaris kepada ikon pasukan itu, Giorgio Chiellini, yang akan meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-35 bulan depan.

Ketibaannya juga mampu melengkapkan proses penstukturan semula barisan pertahanan skuad kendalian Maurizio Sarri itu selepas pengurus itu turut membawa masuk Merih Demiral, Luca Pellegrini dan Cristian Romero, yang harus kembali menyertai Genoa secara pinjaman.