De Ligt: Ronaldo bukan faktor utama ke Juventus

Oleh Staff Writer 20 Julai 2019 1741
De Ligt: Ronaldo bukan faktor utama ke Juventus
Matthijs de Ligt menafikan Cristiano Ronaldo meyakinkannya untuk menyertai Juventus, namun berkata Maurizio Sarri merupakan faktor penting dalam perpindahannya yang bernilai €85.5 juta (RM394.7 juta) itu.

Pemain pertahanan Belanda itu berkata demikian kepada media ketika diperkenalkan dengan jersi nombor 4 malam tadi, 24 jam selepas melengkapkan perpindahan berprofil tinggi itu daripada Ajax.

Pemain berusia 19 tahun itu menarik minat Barcelona, Manchester United dan Paris Saint-Germain (PSG), namun mengesahkan hatinya sudah tertarik untuk menyertai Juve sebelum bertemu Ronaldo di Portugal bulan lalu.

Kedua-dua pemain itu bertemu dalam final Liga Negara-Negara Eropah ketika bintang Bianconeri itu menyarankan De Ligt agar memilih Turin sebagai destinasi pilihannya.

"Pada ketika itu, saya sudah pasti akan memilih Juventus, namun amat jelas ia amat menyeronokkan apabila pemain sebesar Cristiano Ronaldo bertanyakan kepada anda untuk menyertainya.

"Ia pujian yang besar buat saya, namun ia tidak mendatangkan kesan terhadap keputusan saya," katanya.

Bagaimanapun, keputusan De Ligt untuk ke Serie A itu dipengaruhi oleh minatnya yang mendalam terhadap pertahanan Itali, termasuk bekas bintang Juve dan pemenang Piala Dunia, Fabio Cannavaro.

Pendekatan taktikal Sarri amat bertentangan dengan gaya permainan pengendali lain di negara itu, namun terbukti menarik minat De Ligt, yang menggemari gaya penguasaan permainan seperti di Ajax.

"Saya bercakap dengannya melalui telefon untuk mengenali antara satu sama lain.

"Dia salah satu sebab saya datang ke Juventus kerana saya mendengar pelbagai cerita menarik mengenainya.

"Tentang cara permainannya, falsafah yang dimilikinya, garisan pertahanan dan bagaimana dia mempersiapkan pasukan.

"Amat jelas ia merupakan salah satu sebab utama saya berada di sini," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen