Bintang Ajax dan Belanda, Matthijs De Ligt, mendedahkan Cristiano Ronaldo bertanya kepadanya jika dia mahu menyertai Juventus musim depan.

De Ligt, 19 tahun, dijangka melengkapkan perpindahan mega daripada Ajax tatkala Paris Saint-Germain (PSG) dan Barcelona dilaporkan berminat dengan khidmatnya.

Namun, bintang Juve, Ronaldo, tidak membuang masa apabila cuba membawa pertahanan itu ke Turin sejurus aksi final Liga Negara-Negara UEFA yang menyaksikan Portugal mengatasi Belanda 1-0 awal pagi tadi.

Ditanya jika Ronaldo bertanya kepadanya untuk menjadi rakan sepasukan di Juventus, De Ligt menjawab: "Ia memang berlaku.

"Pada mulanya, saya tidak faham. Saya sedikit terkejut, jadi saya ketawa tetapi tidak berkata apa-apa.

"Sebaik sahaja tamat perlawanan, anda tidak pedulikannya kerana kecewa tewas dan itu sahaja yang berada dalam diri anda ketika itu."

Manchester United dan Liverpool turut dikaitkan dengan perpindahan buat bek tengah itu yang menikmati musim 2018-19 dengan cemerlang setelah Ajax mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Namun, De Ligt mahu berehat sebelum membuat keputusan dengan berkata: "Saya mahu pergi bercuti dulu dan berehat.

"Saya akan memastikan ia berlaku dan lihat nanti."