De Ligt perlukan masa tentukan masa depan 

Oleh Staff Writer 16 Mei 2019 2384
De Ligt perlukan masa tentukan masa depan 
Ketua pasukan Ajax, Matthijs de Ligt, masih mempertimbangkan masa depannya walaupun semakin hangat dikaitkan akan ke Barcelona mahupun Liga Perdana Inggeris (EPL).

De Ligt, 19, dijangka meninggalkan Ajax sebaik musim ini berakhir selepas mengesahkan gelaran berganda dengan mengungguli saingan Eredivisie, awal pagi tadi. 

Pemain tengah itu dikaitkan dengan pasukan handalan seperti Barcelona, ​​Liverpool, Manchester United, Juventus dan Bayern Munich.

Begitupun, selepas Ajax menewaskan De Graafschap 4-1 untuk meraih gelaran liga sejak 2014, De Ligt menegaskan dia masih memerlukan masa untuk menentukan masa depannya.

"Ini bukan masanya untuk bercakap tentang masa depan saya," katanya kepada Fox Sports.

"Saya tidak pasti jika saya akan menyertai Frenkie de Jong (ke Barcelona). Saya masih perlu mengambil kira beberapa faktor lagi dan mempertimbangkan segala-galanya.

"Saya tidak dapat mengulas lanjut. Kita akan lihat pada akhir musim panas ini, setakat ini belum ada apa-apa perkembangan lagi."

Kejayaan menjuarai liga menyaksikan Ajax meraih gelaran berganda dalam saingan domestik selepas mengungguli trofi KNVB Beker bagi memadam kehampaan terkandas dalam separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL). 

De Ligt gembira dengan kempen yang diharungi Ajax apabila berkata: "Ia tidak dapat dijelaskan. Kami telah mendambakan detik ini selama lima tahun.

"Saya menikmati setiap persaingan merebut trofi, liga dan UCL, khususnya semangat pasukan ini."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen