Matthijs De Ligt menegaskan destinasi seterusnya masih belum dipilih tatkala Barcelona dan Manchester United dilaporkan berebut untuk mendapatkan tandatangan bintang pertahanan itu.

Pemain berusia 19 tahun Belanda itu merupakan salah seorang pemain paling dimahukan di Eropah dan penghijrahannya daripada Ajax disahkan oleh pengendali, Erik Ten Hag, April lalu.

Tidak kira di mana pilihannya, ia terus menjadi perdebatan sejak beberapa minggu ini tatkala United dilaporkan mampu mengatasi juara LaLiga, Barca, menerusi bidaan tinggi.

Persoalan terus memuncak mengenai keinginan kedua-dua kelab itu yang mahukan khidmat bek tengah tersebut dan dia terus memastikan pilihan masih terbuka.

"Di mana saya lihat diri saya? Jelas sekali Liga Perdana Inggeris adalah saingan besar, begitu juga dengan Sepanyol," katanya.

"Namun, anda memiliki persaingan lain dan ia bukan sekadar dua liga ini.

"Saya masih belum tahu masa depan saya, jadi lihat saja apa jadi nanti. Pertama sekali, kami harus melalui dua perlawanan dan akan melihat kemudian."

De Ligt menamatkan musim ini dalam kelompok empat terbaik Liga Juara-Juara Eropah selepas tewas dalam separuh akhir di tangan Tottenham Hotspur.

Dia dan skuad kendalian Ronald Koeman, Belanda, kini dalam persiapan bagi menghadapi pertemuan Liga Negara-Negara UEFA menentang England 6 Jun ini, di mana pemenang akan berdepan Portugal atau Switzerland dalam final.