Matthijs de Ligt berada dalam keadaan kebingungan sebelum melengkapkan perpindahannya ke Juventus, terutama mengenai Manchester United dan kegusaran tentang berat badannya.

Pemain Belanda itu melengkapkan perpindahan ke Juventus, Khamis lalu, dalam kesepakatan yang menelan belanja €85.5 juta (RM394.6j).

De Ligt, 19, merupakan salah seorang pemain muda yang paling dikehendaki di dunia susulan persembahan luar biasanya sebagai ketua pasukan Ajax dengan memenangi Eredivisie dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Dia sempat dikaitkan dengan perpindahan ke United sehinggalah akhbar Daily Mirror melaporkan ejen pencari bakat telah memberi amaran kepada The Red Devils bahawa De Ligt terdedah kepada masalah berat badan apabila usia semakin meningkat, sama seperti ayahnya.

De Ligt mengatakan dakwaan seperti itu menyebabkan dia benar-benar kebingungan tatkala spekulasi masa depannya berterusan.

"Setiap hari, pasti ada sesuatu (berita) yang baru," katanya kepada Voetbal International.

"Tiba-tiba, ayah saya didakwa terlalu gemuk dan itulah sebabnya salah satu kelab enggan membuat tawaran kepada saya."

Terdapat khabar angin lain yang mengatakan De Ligt telah menolak tawaran Paris Saint-Germain (PSG) kerana menuntut gaji yang lebih tinggi daripada Kylian Mbappe sehingga mendorongnya mengulas di Algemeen Dagblad sebagai "gila".

"Wang sama sekali tidak memainkan peranan ketika saya memilih kelab baru," katanya.

"Setiap orang yang mengenali saya tahu tentang hakikatnya. Semua orang mempunyai pendapat masing-masing dan saya akan menghormatinya tetapi sesetengah orang begitu mudah mengaitkan cerita seperti PSG itu."

De Ligt merupakan pemain berprofil tinggi yang meraih keuntungan melalui ejen ternama, Mino Raiola, yang turut menguruskan Paul Pogba, Zlatan Ibrahimovic dan Marco Verratti.

"Dia mempunyai pengalaman luas," kata De Ligt mengenai Raiola. "Saya fikir dia mungkin mempunyai imej negatif di Belanda tetapi apa yang pasti, saya tidak mengalami hal sedemikian.

"Saya fikir jika anda bertanya kepada semua pemainnya, adakah Mino melakukan tugas yang baik buat mereka, maka semua orang akan berkata ya.

"Itulah perkara yang paling penting, bukan tentang apa yang orang lain katakan tentang dia, ia mengenai apa yang boleh dipenuhinya untuk saya."