De Jong belum pasti kekal di Ajax

Oleh Staff Writer 7 Disember 2018 514
De Jong belum pasti kekal di Ajax
Bintang sensasi Ajax, Frenkie De Jong, tidak pasti sama ada dia akan kekal di Belanda atau berhijrah tatkala dia menjadi perhatian Barcelona, Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG).

De Jong menjadi sasaran kelab besar Eropah, termasuk juara bertahan LaLiga dan Liga Perdana Inggeris, Barcelona dan City, selepas aksi memukau bersama Ajax.

Semalam, laporan media mengatakan dia mungkin ke Paris menyertai juara Ligue 1, PSG, menerusi yuran perpindahan EUR75 juta (RM355 juta) di penghujung musim ini tetapi pemain berusia 21 tahun itu tidak memberikan sebarang pengesahan mengenai masa depannya.

"Sukar untuk menjelaskan apa yang bakal berlaku," kata De Jong.

"Saya mahu menamatkan musim ini dengan baik bersama Ajax, kemudian akan tahu perkembangannya.

"Mungkin saya kekal beberapa tahun lagi, mungkin juga saya pergi. Saya tidak pasti."

Mengenai spekulasi yang terus melanda dirinya, De Jong menambah: "Saya tidak menghiraukan perkara itu.

"Saya mendengar cerita tentangnya tetapi hanya mahu tampil dengan aksi terbaik musim ini."

Tatkala De Jong fokus untuk membantu Ajax memenangi kejuaraan Eredivisie pertama sejak 2014, bintang Belanda itu mendedahkan dia berminat dengan corak permainan yang diterapkan pengendali City, Pep Guardiola.

"Saya sukakan caranya. Mendapatkan bola pantas, mengawal permainan dengan banyak kombinasi," tambah De Jong.

"Apabila anda menyaksikannya, anda dapat rasakan mahu keluar, bermain bola sepak dengan rakan dan berseronok. City dan Barca adalah contoh terbaik."

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen