Kevin De Bruyne mendedahkan perancangannya untuk menyertai bekas rakan sepasukan Manchester City, Vincent Kompany, di Anderlecht.

Kompany meninggalkan City pada penghujung musim lalu selepas mengetuai kelab itu mendominasi kejuaraan domestik untuk memegang peranan selaku pemain-jurulatih di Belgium.

Dia melalui permulaan getir sejak kembali ke Anderlecht dan telah mengundurkan diri daripada tugas pengurusan.

De Bruyne mempertahankan rakan senegaranya itu mampu mengubah situasi tersebut dan perancang City itu bercadang menyertai Kompany, satu hari nanti.

"Saya harap kariernya akan gemilang di Anderlecht, sama seperti di City," katanya.

"Saya telah memberitahunya untuk sediakan satu tempat kosong dalam pasukannya untuk saya hadir apabila selesai bersama City.

"Jika dia melakukannya, saya sudah pun mempunyai destinasi dan tugas seterusnya.

"Saya sememangnya rindukan Kompany di City."

Aksi testimonial buat Kompany akan dilangsungkan di Etihad, hari ini.

Dan De Bruyne mendedahkan Kompany telah memainkan peranan utama untuk dia membuat keputusan menyertai City.

"Pada ketika itu, City cuba mendapatkan saya daripada Wolfsburg dan Kompany meyakinkan saya untuk datang dan beraksi bersamanya," tambah De Bruyne.

"Dia kerap bertanya bila saya mahu datang. Dia juga mengatakan saya perlu menyertai City dan meyakinkan saya."