Jurulatih skuad B-23 tahun negara, Datuk Ong Kim Swee, mengesahkan pemain tengah, Danial Ashraf Abdullah, mengalami kecederaan belakang serius dan bakal diketepikan daripada skuad 26 pemain ke Korea Selatan, Ahad ini.

“Setakat ini, hanya Danial yang mengalami kecederaan belakang yang serius. Ia merupakan kecederaan yang pernah dialaminya dua tahun lalu,” kata Kim Swee.

Perkembangan itu bakal menyaksikan Danial kempunan kali kedua untuk beraksi di pentas tertinggi selepas digugurkan daripada skuad Sukan SEA, Ogos lalu.

Pemain tengah Kelantan itu hari ini sekadar melakukan proses pemulihan kecederaan dan tampak berperang dengan masa untuk kembali pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, ia juga menjadi minggu yang penting buat pemain lain apabila Kim Swee, yang menjangkau usia 47 tahun, akan menggugurkan tiga daripada 29 pemain selepas perlawanan persahabatan menentang Melaka, Khamis ini.

“Selepas bertemu Melaka, saya akan menyenaraikan pemain yang bakal ke Korea dan di sana, kami akan menilai pemain-pemain terbaik untuk menghadapi Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di China,” tambahnya.