Pemain skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Danial Amier Norhisham, meletakkan sasaran untuk beraksi di pentas tertinggi bersama skuad kebangsaan dan kelab di masa akan datang.

Pemain berusia 20 tahun ini merupakan produk daripada Frenz United dan kini bersama Felda United.

Di atas masalah tertentu, Frenz United telah berhenti beroperasi pada tahun lalu dan Danial mengalami masalah untuk beraksi kerana ketiadaan pasukan.

"Selama lapan bulan, saya tanpa pasukan sehingga saya menghubungi jurulatih saya, Steve McMahon, dan beliau telah membantu saya untuk mendapatkan pasukan.

"Saya telah menerima tawaran untuk beraksi di Australia tetapi di atas kekangan visa, saya tidak beraksi di sana," katanya.

"Kemudian, saya menerima tawaran untuk beraksi bersama skuad Piala Presiden Felda United sebelum B. Sathinathan membawa saya menyertai skuad Liga Super dan terpilih beraksi dengan skuad kebangsaan bawah 22 tahun di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee," jelasnya.

Pemain kelahiran Sentul, Kuala Lumpur itu berharap dapat terus meningkatkan mutu permainannya serta mahu beraksi di pentas tertinggi di masa akan datang.

Mengambil kapten pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, sebagai idolanya, dia berharap satu hari nanti dapat menyertai skuad senior kebangsaan.

"Matlamat saya adalah untuk beraksi untuk skuad senior kebangsaan, saya mahu cuba beraksi di pentas tertinggi.

"Saya sangat meminati Safiq. Dia merupakan seorang pemain yang lengkap. Kemahiran mengawal bola, hantarannya dan idea di atas sangat bagus."