Ketua jurulatih Croatia, Zlatko Dalic, akan berbincang dengan Dejan Lovren selepas pertahanannya itu menghujani kutukan ke atas Sergio Ramos di media sosial.

Lovren memuat naik beberapa kiriman di laman Instagramnya yang jelas mengutuk pertahanan Real Madrid itu selepas kemenangan dramatik Croatia ke atas Sepanyol dalam saingan Liga Negara-Negara Eropah, kelmarin.

Ketegangan di antara kedua-dua pemain itu memuncak ketika Sepanyol menewaskan finalis Piala Dunia itu 6-0, September lalu, dengan Lovren menganggap pasukan negaranya telah dimalukan dalam perlawanan tersebut.

Bekas pertahanan Southampton itu mendakwa Ramos hanya kelihatan hebat disebabkan rakan-rakan sepasukan lain di Real Madrid sebelum kemenangan 3-2 Croatia ke atas Sepanyol.

Dalic mengesahkan dia akan bertemu dengan Lovren untuk membincangkan isu itu, namun tidak akan mendedahkan hasil perbincangan tersebut kepada umum.

"Saya akan berbincang dengan Dejan secara peribadi dan perkara itu hanya melibatkan kami berdua.

"Saya tidak akan mendedahkannya kepada umum," katanya.

Croatia akan bertemu England di Wembley, awal pagi nanti.

Kedua-dua pasukan menyasarkan tiga mata penuh bagi melayakkan mereka ke pusingan akhir Liga Negara-Negara Eropah.

Lovren, yang menganggap dirinya sebagai salah seorang pertahanan terbaik dunia, akan berdepan tugas sukar mengekang asakan daripada penyerang England, Harry Kane.

Ditanya sama ada Lovren merupakan pertahanan yang lebih baik berbanding Ramos, Kane enggan menyemarakkan api persengketaan di antara kedua-dua pemain itu.

"Saya tidak layak untuk memperbandingkan mereka berdua, namun berdasarkan rekod, Ramos lebih banyak memenangi kejuaraan dan terlibat dalam perlawanan-perlawanan besar.

"Lovren juga pertahanan yang baik dan saya tidak sabar untuk berdepan dengannya.

"Sesetengah pemain mempunyai suara yang lantang.

"Namun, saya hanya mahu fokus kepada pasukan dan diri saya sendiri," katanya.