WALES 1 CROATIA 1

Zlatko Dalic tidak mahu memikirkan tentang kecergasan Luka Modric selepas pemain tengah Real Madrid itu mengalami kecederaan ketika Croatia seri 1-1 dengan Wales dalam saingan kelayakan Euro 2020, awal pagi tadi.


Modric terpaksa dibantu staf perubatan pasukan ketika meninggalkan padang di penghujung perlawanan selepas mengalami kesakitan sewaktu cuba menyekat Harry Wilson dan dilayangkan kad kuning.

Namun, Dalic pantas menjelaskan situasi itu dan berharap Modric mampu segera pulih tatkala khidmatnya ditagih menjelang aksi getir Croatia yang masih memburu tiket ke pusingan akhir Euro 2020 serta kelabnya, Real.

"Modric mengalami kecederaan di bahagian otot. Ia pelik dan menyakitkan, jadi dia terpaksa dibawa keluar," katanya.

"Dia akan berehat dua atau tiga hari dan saya harap segalanya baik."

Croatia seharusnya sudah mengesahkan tiket ke Kejohana Eropah tahun depan dengan menewaskan Wales di tempat lawan tetapi jaringan penyamaan Gareth Bale sebelum rehat menafikan gol pembukaan Nikola Vlasic.

Vlasic mengakui terkejut dengan persembahan Wales selepas mengikat kedudukan, yang meletakkan mereka di tangga keempat Kumpulan E sambil hampir pasti tidak dapat melayakkan diri.

Hanya peluang yang diraih Daniel James menjadi satu-satunya kesempatan buat penjaga gol bekerja keras dalam babak kedua.

"Saya rasa Wales bertahan dengan baik," katanya.

"Mereka begitu padat dan tahu apa dilakukan. Jelas sekali mereka meneliti aksi kami sewaktu menundukkan Slovakia 4-0.

"Kami cuma memperkemaskan permainan selepas mendahului kerana sedar ia aksi penting buat lawan. Mereka terus mara, jadi kami jangkakan mereka lebih terbuka.

"Namun, mereka bertahan dengan baik. Kami tidak dapat mencipta lima atau enam peluang selepas rehat.

"Mereka tidak mahu menentang kami kerana tahu kami pasukan lebih baik dan ini adalah peluang buat mereka."