Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP Md Dali Wahid, merumuskan mutu pengadil Liga Malaysia masih belum memuaskan dengan seorang pengadil dan dua pembantu pengadil telah diberi surat amaran oleh jawatankuasa berkenaan.

FAM mengambil maklum kritikan terhadap mutu pengadilan dalam Liga Malaysia musim ini.

Selepas lima perlawanan Liga Super, jawatankuasa pengadil badan induk itu juga tidak berpuas hati dengan kualiti beberapa pengadil tempatan.

Ini susulan berlakunya keputusan kontroversi sehingga menyebabkan beberapa pengadil dikenakan tindakan untuk memperbaiki prestasi masing-masing.

"Terdapat dua insiden yang sama berlaku di Melaka (aksi Melaka berdepan Kuala Lumpur) dan di Kedah (Kedah bertemu PKNS). Bagaimanapun, pengadil perlawanan telah memberikan keputusan yang berbeza," katanya.

Sementara itu, Dali mengakui keputusan berbeza oleh pengadil berhubung insiden pemain menghantuk kepala mungkin disebabkan perbezaan situasi.

Beliau merujuk kepada insiden layangan kad merah pertahanan Kedah, Renan Alves, dan layangan kad kuning pemain Kuala Lumpur, Paulo Josue, walaupun melakukan kekasaran yang sama.

"Prestasi pengadil perlawanan itu memaksa jawatankuasa pengadil untuk dikenakan tindakan kerana gagal memberikan keputusan yang tepat."