Toni Kroos melabel tuduhan perkauman oleh Mesut Ozil sebagai mengarut apabila bintang Jerman itu bertindak membidas bekas rakan sepasukannya itu.

Ozil bersara daripada peringkat antarabangsa berikutan kegagalan Jerman di peringkat kumpulan Piala Dunia di Russia -- perancang itu semakin bosan dengan layanan diterimanya dan berasakan menerima layanan dalam bentuk perkauman daripada Persekutuan Bolasepak Jerman (DFB), penyokong dan juga beberapa ahli politik berikutan pertemuan kontroversinya dengan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Pemain tengah Arsenal berusia 29 tahun itu yang berdarah Turki menempelak DFB dan presidennya, Reinhard Grindel, dalam satu kenyataan panjang yang dikeluarkan bulan lalu.

Namun, Kroos menolak isu perkauman yang dicetuskan oleh badan induk berkenaan seperti yang didakwa Ozil sebelum sepak mula Piala Super UEFA yang menyaksikan Real Madrid tewas 2-4 kepada Atletico Madrid di Estonia, awal pagi tadi.

"Pada dasarnya, Mesut sememangnya layak mewakili pasukan kebangsaan dan berhak mendapat pengiktirafan sewajarnya ketika bersara (daripada peringkat antarabangsa)," kata Kroos kepada Bild. "Saya telah bermain bersama Mesut selama bertahun-tahun dan tahu bahawa dia seorang yang baik.

"Cara persaraannya tidak manis. Sebahagian kenyataan yang dibuatnya adalah baik dan ditangani dengan betul, malangnya ia dibayangi oleh bahagian yang tidak masuk akal. Saya rasa dia tahu bahawa perkauman tidak wujud di dalam pasukan kebangsaan dan DFB.

"Malah, kami sentiasa komited terhadap kepelbagaian (etnik) dan integrasi. Mesut adalah contoh yang baik kerana ramai pemain kami melakukannya.

"Mesut telah dikritik kerana gambar itu dan ia tidak wajar. Dia tidak berpeluang untuk menerangkan keadaan.

"Bagaimanapun, dia menerima sokongan tidak berbelah daripada kepimpinan sukan dan pasukannya. Kemudian dia -- seperti kami juga -- dikritik atas persembahan dalam Piala Dunia. Kritikan yang dilemparkan sudah tentu tidak selalunya membina - tetapi anda harus menelannya sebagai pemain."

Kroos merupakan sebahagian daripada kegagalan memalukan Jerman dalam kempen di Russia tetapi pemenang Piala Dunia 2014 dan pemain antarabangsa sebanyak 86 kali itu tidak bercadang untuk meninggalkan pasukan kebangsaan.

"Saya akan meneruskan karier antarabangsa. Saya akan menempuhi laluan ini sehingga Euro 2020 dengan menetapkan sasaran besar. Kami mahu lebih berjaya berbanding kempen sebelumnya," kata pemain berusia 28 tahun itu.

"Malah, sebelum Piala Dunia -- khususnya selepas itu -- saya ada mempertimbangkan segala keputusan yang perlu diambil tanpa mengira kejayaan atau kegagalan di Russia.

"Saya berasakan saya memerlukan lebih banyak rehat berbanding lima atau enam tahun lalu supaya dapat kekal di tahap yang sama pada musim-musim yang akan datang.

"Tahun-tahun sudah sangat berjaya tetapi juga sangat sengit. Ia memerlukan tuntutan tinggi daripada segi fizikal dan mental. Sejujurnya, sering berjauhan dari rumah mengganggu saya.

"Saya mengadakan perbincangan yang sangat baik dengan Joachim Low yang memahami pemikiran dan penjelasan saya. Dia berjuang untuk memastikan saya terus beraksi.

"Kami akan mencari jalan penyelesaian bersama-sama supaya saya mendapat rehat yang diperlukan di sini dan di sana (skuad kebangsaan). Setakat ini sahaja pandangan saya dan saya berterima kasih kepada Jogi kerana memahaminya. Lagipun, semua orang mahu saya berada dalam keadaan baik pada musim panas 2020.

"Anak saya, Leon, begitu inginkan saya terus bermain untuk Jerman. Dia adalah peminat tegar Real dan pasukan kebangsaan. Sukar untuk saya menyatakan tidak."