Ketika keghairahan Liga Super dan Liga Perdana makin memuncak, sebuah pasukan Liga FAM sedia mencetuskan sensasi.

Kelab yang berpangkalan di Temerloh, Pahang, itu yang diberi nama D'AR Wanderers, sedang mempersiapkan diri menjadi pendatang baru yang mampu mencipta impak.

Wanderes merupakan aspirasi Datuk Ahmad Razali Azmi yang juga merupakan seorang penyokong tegar bola sepak yang memiliki cita-cita tersendiri.

"Cara saya dan orang lain berfikir mungkin berbeza.

"Kalau pasukan lain mahu mengejar piala, kami pula mahu mengukuhkan pemasaran dengan menguatkan kumpulan penyokong terlebih dahulu," katanya.

Jeneral yang bakal menggerakkan perancangan Ahmad Razali adalah ketua jurulatih Wanderers merangkap ikon bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha.

"Peluang 50-50, saya akan memberikan yang terbaik," kata bekas penggempur terbilang negara itu.

Terbukti, impian Wanderers itu tidak dpandang enteng apabila pemain berdarah Malaysia kelahiran Jepun, Tam Shean Tsung, yang pernah beraksi dalam liga divisyen tiga Jepun, turut sanggup menggalas cabaran.

"Saya mencari peluang beraksi.

"Wanderers dibarisi ramai pemain muda, saya mahu menjaringkan gol dan mencipta gerakan untuk rakan-rakan.

"Saya juga mahu membawa pasukan Wanderers ke divisyen dua," ujar pemain berusia 23 tahun itu.