Pengendali Mesir, Hector Cuper, yakin Mohamed Salah akan cergas sebelum Piala Dunia tetapi menerima kesukaran yang melanda pasukannya sewaktu aksi bertemu Colombia tanpa kelibat bintang utama itu.

Tanpa Salah yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan bahu, Mesir hanya mampu mencatat keputusan seri 0-0 ketika bertemu Colombia di Bergamo, semalam.

Bintang Liverpool itu mengalami kecederaan tersebut sewaktu aksi final Liga Juara-Juara Eropah bertemu Real Madrid pada 26 Mei lalu, sekali gus menimbulkan kegusaran terhadap aksinya di Russia 2018.

Bagaimanapun, Cuper masih optimis bahawa Salah akan cergas menjelang saingan sebenar yang bakal bermula kurang daripada dua minggu lagi.

"Kami yakin dan setiap laporan perubatan telah menjelaskannya," kata Cuper.

"Dalam masa sama, kami harus bersedia dengan sebarang kemungkinan sebelum bermula."

Mesir akan menghadapi satu lagi aksi persahabatan sebelum perlawanan pertama Piala Dunia pada 15 Jun, apabila menentang Belgium pada Rabu depan.

Cuper mengakui skuadnya amat merindui sentuhan Salah tetapi gembira melihat kesan yang dipamerkan Ramadan terhadap tenaga pasukannya.

"Bukan mudah untuk menggantikan tempat Salah.

"Dia adalah senjata utama kami, terutama ketika serangan balas berbekalkan kepantasan dan kualiti yang dimilikinya.

"Sebab itu kami bergelut di bahagian depan ketika ini. Kami cuba mengimbanginya dengan permainan berpasukan tetapi kekurangan stamina membuatkan segalanya menjadi terhad, berpunca daripada tanggungjawab agama yang memerlukan kami berpuasa."