Bekas pertahanan Juventus, Antonello Cuccureddu, menggesa kelab itu untuk mendapatkan khidmat Pep Guardiola sebagai ketua jurulatih yang baru berbanding melantik semula Antonio Conte.

Juve mencari pengendali baru selepas mengesahkan semalam bahawa Massimiliano Allegri akan meninggalkan kelab itu penghujung musim ini.

Allegri memenangi setiap gelaran Serie A sepanjang tempoh dia berkhidmat di Stadium Allianz tetapi Juve tersingkir daripada saingan Coppa Italia dan Liga Juara-Juara (UCL) musim ini dan sedang dalam persiapan menghadapi era baru.

Guardiola dilihat sebagai pilihan terbaik untuk mengambil alih di sebalik dia menolak cadangan tersebut manakala Conte -- yang meraih tiga gelaran Serie A sebelum mengundurkan diri pada 2014 -- turut berada dalam radar kelab.

Cuccureddu, yang memenangi lapan gelaran dalam 12 tahun bersama Juve, percaya Guardiola adalah pilihan terbaik.

"Untuk mengelak kesilapan, saya memilih Guardiola walaupun terpaksa berbelanja besar," katanya. "Saya menghormati Conte tetapi saya tidak pasti jika Juventus akan mengambil khidmatnya semula.

"Terdapat kekecewaan apabila kami tersingkir daripada UCL. Kami berasakan jurulatih yang baru diperlukan," ujarnya lagi.