BRAZIL 2 COSTA RICA 0

Dua jaringan pada masa kecederaan memastikan Brazil meraih kemenangan 2-0 ke atas Costa Rica dalam aksi kedua Kumpulan E, Piala Dunia, sebentar tadi.


Selepas seri 1-1 dengan Switzerland dalam aksi pembukaan, skuad kendalian Tite itu hadir ke dalam perlawanan kedua di Stadium Saint Petersburg mencari kemenangan bagi meningkatkan peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.

Sejak awal permainan, penguasaan bola memihak kepada Brazil, dengan jentera serangan yang diketuai oleh Neymar melancarkan asakan demi asakan ke arah kubu pertahanan Costa Rica.

Mengetahui kebolehan Brazil, Costa Rica mengambil pendekatan bertahan dan mempamerkan permainan yang lebih fizikal sepanjang permainan yang membuatkan mereka hampir kebal untuk ditembusi.

Selepas seri tanpa jaringan dalam separuh masa pertama, Brazil terdesak mencari peluang untuk menghasilkan jaringan.

Pada minit ke-79, pengadil, Bjorn Kuipers dari Belanda, memberikan sepakan penalti kepada Brazil gara-gara Neymar dihalang Giancarlo Gonzalez, yang jelas dibantah keras pemain-pemain Costa Rica.

Bagaimanapun, ulang tayang Video Bantuan Pengadil (VAR) menunjukkan sentuhan minimum oleh Gonzalez sambil Neymar didapati melakukan simulasi dengan gaya merebahkan badannya ke belakang.

Lantas, keputusan menganugerahkan sepakan penalti itu dibatalkan dan Neymar harus bertuah tidak dikenakan kad kuning kedua yang akan menyingkirkannya daripada perlawanan.

Melewati masa kecederaan, hantaran Roberto Firmino ke dalam kotak penalti berjaya disambar oleh Gabriel Jesus yang meluangkan buat Coutinho menyudahkannya menewaskan penjaga gol, Keylor Navas, untuk Brazil berada di depan.

Jaringan itu, lewat dalam permainan, ternyata mematahkan semangat Costa Rica, yang akhirnya menyaksikan Neymar memastikan kemenangan buat Brazil dengan menjaringkan gol kedua perlawanan daripada umpanan Douglas Costa untuk skuad Selecao itu mengumpul empat mata dalam Kumpulan E.

Serbia akan menjadi halangan terakhir Brazil dalam saingan peringkat kumpulan dalam usaha mereka merebut slot 16 pasukan terbaik.