Rakan sepasukan Neymar dalam skuad Brazil, Philippe Coutinho dan Arthur, menyeru bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu supaya kembali ke Barcelona.

Neymar menjadi pemain termahal dunia ketika berpindah ke PSG dengan nilai €222 juta (RM1b) pada 2017 dan ia bakal berakhir untuk membolehkannya kembali ke Camp Nou yang pernah menyaksikannya menyinar selama empat musim.

Begitupun, sejak menyertai PSG, Neymar kerap dikaitkan dengan perpindahan semula ke Sepanyol dengan desas-desus kebelakangan ini melaporkan Real Madrid turut berminat.

PSG dan presidennya, Nasser Al-Khelaifi, dikatakan kecewa dengan sikap Neymar selain kecenderungannya gemar bermain tarik tali dengan kelab lain.

Oleh itu, spekulasi mencadangkan PSG sedia melepaskan penyerang lincah itu dalam jendela perpindahan ini, justeru Coutinho dan Arthur meluahkan keinginan masing-masing.

"Sudah tentu, saya mahukannya (kepulangan Neymar ke Barca)," kata Arthur kepada Marca.

"Dia seorang pemain yang hebat, bahkan bukan sahaja saya, semua orang memikirkannya. Lebih ramai pemain yang hebat bergandingan adalah lebih baik."

Coutinho menambah: "Untuk bermain di samping Neymar adalah sesuatu yang luar biasa, dia adalah seorang bintang handalan.

"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku tetapi ia sentiasa menjadi sesuatu yang menyeronokkan untuk bercakap tentang peluang beraksi dengannya."

Coutinho dan Arthur sedang memperkuatkan Brazil dalam kempen Copa America 2019 di laman sendiri, namun Neymar tersisih akibat kecederaan ligamen buku lali.