REAL MADRID 1 GIRONA 2

Thibaut Courtois berkata Real Madrid hilang kawalan ketika tewas di laman sendiri kepada Girona dalam aksi LaLiga, sekali gus menyaksikan Los Blancos ketinggalan sembilan mata di belakang pendahulu, Barcelona.


Real telah meraih lima kemenangan berturut-turut, termasuk menewaskan Atletico 3-1 di Wanda Metropolitano, yang memacu mereka kembali dalam persaingan takhta liga menjelang aksi Clasico, 2 Mac ini.

Tandukan Casemiro meletakkan tuan rumah mendahului permainan sebelum Girona melakar kebangkitan di Santiago Bernabeu, semalam.

Selepas Sergio Ramos menahan bola dengan tangan dalam kotak penalti, Cristhian Stuani menewaskan Courtois menerusi sepakan penalti untuk meledak jaringannya yang ke-13 musim ini.

Girona terus mengasak kubu pertahanan Real, dengan kesilapan Courtois yang menahan percubaan Anthony Lozano kembali ke dalam zon bahaya dimanfaatkan Portu yang menanduk masuk jaringan kedua untuk memastikan kemenangan pelawat.

Ia merupakan perlawanan yang harus dilupakan Real, dengan Ramos dilayangkan kad merah selepas percubaan sepakan guntingnya terkena pertahanan lawan sementara Courtois cuba mencari gol penyamaan tetapi tandukannya sekadar tersasar.

"Saya mengambil keputusan untuk membantu pasukan mencari gol" kata Courtois. "Saya berjaya menanduk bola tetapi ia tersasar.

"Saya berasakan kami bermain dengan baik dalam separuh masa pertama, kami menurunkan tempo permainan sedikit dan tidak beraksi pada tahap yang sama ketika mengatasi Ajax atau Atletico.

"Lawan menemui rentak dalam separuh masa kedua dan menghasilkan beberapa percubaan. Girona berjaya menyamakan kedudukan dan kami hilang kawalan perlawanan ini.

"Saya gagal mengeluarkan bola daripada kotak penalti sebelum Girona menjaringkan gol kemenangan. Kami amat memerlukan kemenangan dan sangat kecewa kerana gagal melakukannya. Girona sentiasa menghadirkan kesukaran buat kami."

Girona tidak memenangi sebarang perlawanan dalam 13 perlawanan terdahulu dengan tandukan Portu memastikan kemenangan pertama di Bernabeu.

Eusebio Sacristan dilaporkan hampir dipecat Girona, yang meraih keputusan seri ketika bertemu Barcelona, September lalu, dan kini di tangga ke-15 liga dengan memiliki kelebihan empat mata daripada zon penyingkiran.

"Ia merupakan kemenangan bersejarah pasukan selepas mengharungi keputusan yang mengecewakan sebelum ini," kata Portu. "Ia merupakan cabaran yang sukar tetapi semangat pasukan ini sangat tinggi dan ia membantu kami dalam perlawanan ini."