Giancarlo Gonzalez menegaskan persembahan cemerlang Costa Rica dalam Piala Dunia 2014 merupakan "sejarah silam" tatkala dia dan rakan sepasukannya berusaha melakar bab baru di Russia.

Pemain pertahanan Bologna, Gonzalez, adalah sebahagian daripada skuad yang melampaui hampir semua jangkaan ketika mencapai slot lapan pasukan terbaik di Brazil sebelum tumpas kepada Belanda menerusi penentuan penalti.

Empat tahun kemudian, Costa Rica akan memulakan kempen 2018 menentang Serbia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E di Samara, esok.

Meskipun pencapaian tahun 2014 masih segar di dalam ingatan, Gonzalez berkata kini bukan masanya untuk mengenang nostalgia.

"Itu sejarah silam dan sudah waktunya untuk membuka lembaran baru bersama Costa Rica," katanya dalam sidang media hari ini.

"Kami menunggu detik ini sejak sekian lama dan kami perlu melaksanakan apa yang telah diamalkan.

"Banyak yang telah dibicarakan mengenai Piala Dunia yang lalu. Ini adalah Piala Dunia yang baru, sebuah kisah baru. Ada antara kami yang kembali, kami sedar dunia sedang memerhatikan kami.

"Kami telah mempersiapkan diri dan kami akan melakukan segala yang termampu untuk beraksi dengan baik esok kerana pasukan ini mewakili negara kami. Kami akan cuba mencapai kemenangan, itu yang kami sedang usahakan."

Ketua jurulatih, Oscar Ramirez, yang merupakan sebahagian daripada anggota Costa Rica yang mencapai pusingan 16 dalam edisi Itali 90, mengakui Brazil merupakan pilihan untuk mendahului kumpulan tetapi memberi amaran adalah tidak bijak untuk menyarankan bahawa tiga pasukan yang lain hanya berjuang untuk tempat kedua.

"Brazil sentiasa menjadi pasukan kegemaran, saya fikir mereka mampu menjadi pasukan yang sangat penting dan pastinya yang tertinggi di peringkat dunia, jadi mereka pasti akan sentiasa dalam fikiran," katanya.

"Kami menduduki ranking ke-23 atau lebih dalam ranking dunia, jadi anda mungkin fikir kami lebih kurang sama dengan Serbia dalam ranking dunia manakala Switzerland adalah hal berlainan.

"Bola sepak penuh dengan kejutan, kami mempunyai pengalaman dalam kejohanan lain dan muncul di tangga teratas. Kami perlu memungut tiga mata supaya kami dapat mencari tempat dalam pusingan seterusnya."