Neymar tidak perlu takut tentang keselamatannya apabila Brazil berdepan Costa Rica dalam aksi Kumpulan E, Piala Dunia 2018, kata ketua jurulatih, Oscar Ramirez.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu telah dikasari sebanyak 10 kali dalam perlawanan pembukaan kempen ketika diikat Switzerland 1-1, 18 Jun lalu -- kekasaran terbanyak diterima pemain dalam Piala Dunia sejak Alan Shearer menentang Tunisia pada 1998.

Aksi pemanas badan bertemu Austria turut menyaksikan Neymar mendapat layanan buruk daripada pihak lawan sehingga menyebabkan dia tersisih dalam sesi latihan awal minggu ini sambil ketua jurulatih Brazil, Tite, mengakui bahawa pemain berusia 26 tahun itu terlalu awal untuk kembali beraksi susulan kecederaan metatarsal yang menimpanya pada penghujung Februari lalu.

Dalam kekalahan 0-1 Costa Rica kepada Serbia, perlawanan itu dicemari beberapa insiden terjahan keras, namun Ramirez memberitahu sidang berita menjelang aksi di Stadium St Krestovsky itu, pemainnya tidak akan menyalahgunakan kedudukan mereka dalam temasya Russia 2018 meskipun berdepan ancaman penyingkiran.

"Neymar merupakan seorang pemain yang berkemahiran tinggi dan memang benar kita telah melihat bagaimana pemain lawan bersikap agresif ketika cuba menyekatnya," katanya.

"Kami mempunyai strategi tersendiri dan kami akan melihat apa yang berlaku nanti -- mungkin kami akan menggunakan dua pemain untuk mengawalnya -- kita akan lihat nanti. Tetapi, sudah tentulah kami tidak mahu melihat apa-apa terjahan yang tidak adil terhadapnya.

"Pemain saya tahu apa yang perlu dilakukan," ujarnya.

Kebimbangan lebih besar kepada penyokong Costa Rica minggu ini adalah mengenai laporan pergolakan dalaman pasukan, terutama di antara penjaga gol Real Madrid, Keylor Navas, dan pemain senior yang lainnya.

Ramirez mengambil peluang itu untuk mengetepikan dakwaan tersebut serta menyifatkannya sebagai berita yang disensasikan.

"Dalam kes ini, maklumat tertentu telah diterbitkan. Kononnya ia timbul daripada pasukan sendiri tetapi saya menafikannya," katanya lagi.

"Memang benar bahawa sesetengah pemain lebih rapat dengan pemain tertentu tetapi tidaklah sampai berpuak-puak. Tidak ada masalah di dalam pasukan dan saya tidak perlu campur tangan sama-sekali.

"Orang ramai telah bercakap mengenai perbalahan dalam kalangan pemain tetapi saya tidak perlu menghentikan sebarang pertelingkahan.

"Saya tidak percaya ia pernah berlaku kerana mereka semua sangat sopan. Sesiapa yang berkongsi maklumat ini tidak bertindak dengan betul.

"Sekiranya seseorang itu berasa sangat teruk, mereka harus datang kepada saya dan saya akan mengambil tindakan yang betul. Tetapi, saya tidak melihat apa-apa."