Douglas Costa mengakui dia penah tidak percaya bahawa Cristiano Ronaldo akan menyertai pasukannya, Juventus, namun bintang dunia itu "memenangi hati semua pihak dengan segera" sebaik membarisi pasukan juara Itali itu.

Ronaldo meninggalkan Real Madrid dengan perpindahan bernilai €112 juta (RM519.9 juta) pada awal musim ini dan pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or itu memenuhi tuntutan pelaburan besar itu dengan membantu juara bertahan Serie A berkenaan ke suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Pemain berusia 34 tahun itu memecahkan rekod penjaring hatrik terbanyak Liga Juara-Juara Eropah dengan melakukan yang kelapan ketika menewaskan Atletico Madrid 3-0 di Turin, Rabu lalu, yang memutlakkan kebangkitan 3-2 The Old Lady secara agregat.

Ronaldo juga telah menjaringkan 24 gol dalam kesemua kejohanan musim ini -- 19 daripadanya datang daripada saingan Serie A -- dan rakan sepasukannya, Costa, memuji bintang Portugal itu walaupun dia pernah tidak percaya mereka akan bergandingan bersama.

"Ketika dia tiba di sini, saya terfikir 'pemain terbaik dunia menyertai kami, bukan?" katanya kepada saluran YouTube, De Sola.

"Selepas dia tiba, kelab ini meningkat daripada segala aspek.

"Sumbangannya itu amat jelas dirasai.

"Dia menjaringkan gol setiap minggu, dia menarik lebih ramai penyokong ke stadium dan kami berharap dia akan bersama-sama kami untuk memenangi kejuaraan dan mencipta sejarah.

"Dia pemain yang hebat, dia bekerja keras dan sentiasa bersama kami.

"Jika dia tidak bercakap dengan saya, dia mahu bercakap dengan siapa lagi? Hanya kami berdua berbahasa Portugis.

"Percaya atau tidak, sewaktu ketibaan Ronaldo, saya tertanya-tanya bagaimana keadaan di bilik persalinan kami dengan kehadirannya?

"Kami menyayangi sesama kami sebagai rakan sepasukan kerana kami mahu merebut tempat dalam skuad utama, namun Cristiano memenangi hati semua orang dengan segera.

"Dia seorang yang bersederhana, rajin berusaha dan sukakan kemenangan.

"Juventus menanti-nantikan pemain yang mempunyai pemikiran seperti itu, jadi dia telah banyak membantu kami," katanya.

Juve -- yang akan berdepan Ajax dalam suku akhir Liga Juara-Juara Eropah -- akan bertandang ke Genoa bagi saingan Serie A, malam esok.