Ketua pasukan Atletico Madrid, Gabi, menggesa Diego Costa agar menghormati hak Chelsea sebagai majikannya walaupun sedang berusaha untuk kembali ke LaLiga.

Costa sebelum ini mendedahkan dia diberitahu oleh pengendali, Antonio Conte, bahawa dirinya tiada dalam perancangan pasukan menjelang saingan musim 2017/18.

Perkara itu membuatkan penyerang Sepanyol itu mahu kembali beraksi dalam LaLiga, menyertai Atletico yang kini sedang digantung daripada jendela perpindahan dan Gabi serta rakan sepasukan, Koke, mengesahkan perkara tersebut.

“Apa yang saya tahu, Atletico memang mahu mendapatkannya dan Costa mahu berpindah ke sini.

“Namun, sudah tentu pihak ketiga adalah Chelsea dan anda seharusnya menghormati kelab. Memandangkan Costa kini milik Chelsea, saya tidak mahu mengulas lebih lanjut,” kata Gabi.

“Jika Costa menyertai kami, dia akan membantu pasukan seperti apa yang dilakukan sebelum ini.

“Kami tahu dia seorang pemain yang hebat, namun kini Costa adalah pemain Chelsea dan saya tidak boleh bercakap banyak mengenainya,” tambah Koke.

Costa memenangi kejuaraan LaLiga dan layak ke final Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim 2013/14 sebelum menyertai Chelsea di bawah pengurusan Jose Mourinho ketika itu.

Di London, dia memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak dua kali dan satu medal juara Piala EFL.