Penyerang Sepanyol, Diego Costa, berpendapat bahawa Argentina harus bersyukur mempunyai Lionel Messi dalam pasukan dan bukan mengkritiknya.

Messi tidak beraksi ketika Sepanyol membelasah skuad kendalian Jorge Sampaoli itu 6-1 akibat kecederaan kelmarin, sekali gus mencipta rekod baru dalam kekalahan aksi persahabatan buat Argentina.

Costa membuka tirai jaringan buat La Roja sebelum bintang Real Madrid, Isco, mencatat hatrik pertamanya buat skuad kebangsaan.

Walaupun meraih banyak penghargaan dan kejayaan bersama Barcelona, Messi terus bergelut untuk mencipta impak sama di peringkat antarabangsa selepas tewas dalam final Piala Dunia edisi lalu serta tiga Copa America sebelum ini.

Bagi Costa, Argentina amat rindukan sentuhan pemain berusia 30 tahun itu ketika dimalukan oleh Sepanyol di Wanda Metropolitano.

“Anda harus melakukan analisis dalam semua aspek. Penyokong Argentina mengkritik Messi dengan kerap tetapi mereka harus mengakui apabila dia tiada, mereka terasa satu kehilangan besar.

“Pemain seperti Messi tidak seharusnya dikritik. Anda harus bersyukur kerana dia masih bersama pasukan. Messi perlu sentiasa dilayan dengan baik.

“Walaupun ketika dia beraksi buruk bersama skuad kebangsaan, penampilannya di atas padang memberikan kelainan,” kata Costa.

Ketika bertemu Argentina, Costa dikeluarkan selepas babak pertama dan digantikan dengan Iago Aspas, yang menyaksikan pemain Celta Vigo itu menjaringkan gol dan mencipta satu bantuan jaringan, sekali gus mencerahkan peluang mencuri tempat dalam skuad ke Russia.

Bagaimanapun, penyerang Atletico Madrid yang menjaringkan enam gol dalam enam penampilan terakhir buat Sepanyol itu bersedia untuk kembali merebut tempat selaku penyerang nombor satu skuad La Roja.

“Sembilan bulan yang saya lalui tanpa dipanggil skuad kebangsaan adalah sesuatu yang sangat perit.

“Saya melalui enam bulan tanpa sebarang aksi permainan tetapi saya tahu jika saya mula bermain, saya akan berpeluang untuk kembali dan saya gembira berada di sini,” katanya lagi.