ATALANTA 2 FIORENTINA 1
(Atalanta ke final dengan agregat 2-1)

Gian Piero Gasperini memberi amaran buat pemain Atalanta bahawa mereka tidak boleh kehilangan fokus dalam saingan Serie A selepas menempatkan diri dalam final Coppa Italia, yang meletakkan mereka di laluan tepat untuk mencipta penamat "luar biasa' musim ini.


Atalanta menewaskan Fiorentina 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Bergamo awal pagi tadi untuk ke final dengan agregat 5-2.

Luis Muriel membuka jaringan buat pelawat dalam tiga minit pertama, namun Josip Ilicic menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti tidak lama selepas itu sebelum kapten Atalanta, Alejandro Gomez, menjaringkan gol kemenangan dalam babak kedua untuk memastikan pasukannya ke final pertama sejak 1996.

Atalanta kini berada di tangga kelima Serie A -- terikat mata yang sama dengan pasukan di tangga keempat, AC Milan -- dan masih bersaing untuk merebut tempat ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Namun, dengan saingan liga masih berbaki lima perlawanan musim ini, Gasperini tidak mahu pemainnya kehilangan tumpuan menjelang aksi final Coppa Italia menentang Lazio, bulan depan.

"Sekarang, kami perlu bersedia untuk menentang Udinese kerana kami sedang berusaha untuk memburu sesuatu yang luar biasa," katanya kepada Rai Sport.

"Bandar Bergamo sedang bergema, namun kami perlu membawa pulang keputusan yang baik dan untuk menamatkan musim dengan layak ke Kejohanan Eropah buat tahun ketiga berturut-turut, ia akan merupakan pencapaian yang hebat.

"Ia merupakan cabaran terbesar buat kami kerana ia terlalu hampir dengan kunjungan ke Napoli.

"Sebelum final Coppa Italia, kami memiliki masa untuk untuk mempersiapkan pasukan dan tumpuan kami akan menjurus kepada Serie A.

"Dengan kedudukan dan jadual perlawanan, kami mampu membuktikan kemampuan dan mengambil segala peluang yang ada.

"Sesetengah pemain berasa sakit selepas aksi menentang Napoli, yang memerlukan kerja keras daripada kami Isnin lalu.

"Namun, ia menunjukkan yang mereka layak untuk mendapat pujian kerana berjuang melawan kesakitan dan memenangi perlawanan malam ini," katanya.

Kekalahan Fiorentina itu bermakna kempen mereka musim ini sudah pun tamat memandangkan mereka kini ketinggalan 15 mata daripada kedudukan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan selepas melewati 11 perlawanan tanpa kemenangan dalam kesemua kejohanan.

Ketua jurulaith, Vincenzo Montella, mengakui pasukannya perlu menyalahkan diri sendiri dalam kekalahan itu selepas memberikan lawan sepakan penalti, dengan Federico Ceccherini melakukan terjahan terburu-buru ke atas Gomez sebelum Alban Lafont gagal menafikan gol kemenangan Gomez.

"Kami masih di sini lagi dengan pelbagai penyesalan selepas pasukan ini bermain dengan hati dan jiwa, namun tidak menyempurnakan peluang.

"Ia amat menyedihkan kerana kami tewas disebabkan sepakan penalti yang boleh dielakkan dan gol yang kami berikan kepada mereka.

"Kami kini perlu bersedia untuk menghadapi perlawanan dengan Sassuolo dan saya akan melihat pemain mana yang akan terlibat dengan perlawanan itu.

"Kami mencipta banyak peluang sepanjang tiga perlawanan lalu dan kurang kejam dalam penyudah," katanya.