CULTURAL 2 ATLETICO 1

Atletico Madrid mengalami kekalahan mengejut dalam pusingan 32, saingan Copa del Rey apabila jaringan Sergio Benito dalam masa tambahan memastikan kemenangan 2-1 buat Cultural Leonesa.


Skuad kendalian Diego Simeone itu mempamerkan aksi hambar dalam pertembungan di Reino de Leon awal pagi tadi, namun jaringan Angel Correa pada minit ke-62 hampir pasti melayakkan Atleti.

Bagaimanapun, kelab divisyen tiga itu bangkit -- rembatan voli Julen Castaneda memaksa perlawanan diheret ke masa tambahan.

Dan Benito -- yang terlebih dahulu terlepas peluang menyempurnakan jaringan -- bertindak selaku wira apabila jaringannya pada minit ke-108 menghidupkan suasana penyokong tuan rumah, sekali gus lolos ke pusingan seterusnya.

Atleti terlepas peluang dalam separuh masa pertama apabila Vitolo gagal menyempurnakan jaringan ketika berada dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol, Lucas Giffard, apabila percubaannya sekadar tersasar.

Benito seharusnya menghukum Atleti di sebalik kegagalan Vitolo apabila berjaya menyambar hantaran silang Virgil Theresin tetapi percubaannya gagal menepati sasaran.

Vitolo kelihatan akan membuka jaringan sebelum melewati 60 minit waktu permainan, namun sentuhannya sekali lagi bijak dinafikan Giffard.

Tuah Atleti berubah tiga minit kemudian, dengan Correa tenang melepaskan rembatan leret apabila menerima hantaran flik daripada Joao Felix.

Ketika harapan Cultural hampir berkecai, Castaneda kembali mengikat jaringan menerusi rembatan voli.

Ivan Saponjic yang terlepas dua peluang terhidang kembali meletakkan Atleti mendahului perlawanan sebelum Giffard menafikan dua percubaan untuk memaksa perlawanan ke masa tambahan.

Gabriel Gudino melakukan hantaran untuk membuka ruang di antara barisan pertahanan Atleti yang disempurnakan oleh Benito untuk merakamkan kemenangan mengejut ke atas gergasi Sepanyol itu.




Editor: Ammar Hakim