LEVANTE 2 BARCELONA 1

Barcelona berdepan risikio penyingkiran dalam pusingan 16 Copa del Rey selepas tewas 1-2 kepada Levante dalam perlawanan pertama di Stadium Ciutat de Valencia, awal pagi tadi.


Memori getir ketika Barca dipaksa bekerja keras di venue yang sama sebelum mengekalkan rekod tanpa kalah dengan kemenangan 5-4 musim lalu, kembali menghantui skuad kendalian Ernesto Valverde itu menerusi aksi luar biasa yang dipamerkan Levante dalam separuh masa pertama.

Jeison Murillo dan Chumi diberikan peluang untuk mengemudi jentera pertahanan gergasi Catalan itu yang kemudian dimanfaatkan tuan rumah untuk menghasilkan dua jaringan awal menerusi Erick Cabaco dan Borja Mayoral.

Ketiadaan bintang penyerang, Lionel Messi dan Luis Suarez, menyekat kebangkitan mereka walaupun mempunyai bekalan satu gol yang disumbangkan Philipe Coutinho menjelang aksi timbal balik di Camp Nou, Khamis depan.

Barca melakukan eksperimen di bahagian pertahanan dengan menggandingkan pemain pinjaman daripada Valencia, Murillo, dan pemain muda, Chumi.

Percaturan itu mengundang padah apabila Cabaco yang tidak dikawal menanduk masuk bola sepakan percuma Ruben Rochina pada minit keempat.

Emmanuel Boateng mempersia-siakan dua peluang berharga untuk menggandakan kelebihan itu, namun dia menebusnya menerusi hantaran menarik yang kemudian disudahkan pemain pinjaman daripada Real Madrid, Mayoral, pada minit ke-18.

Barca hampir memperoleh jaringan penyamaan menerusi Ousmane Demebele dan Malcom, dengan kedua-dua pemain itu gagal menewaskan Aitor Fernandez.

Jesper Cillesen menyelamatkan Barca daripada ditimpa aib lebih besar ketika dia terpaksa keluar dari kawasan jagaannya untuk memenangi situasi satu lawan satu berdepan Jose Luis Morales.

Valverde kemudian memasukkan pemain gantian, Denis Suarez, dan larian lincah pemain itu memaksa Coke melakukan terjahan keras dalam kotak penalti.

Kesempatan itu dimanfaatkan Coutinho bagi menjaringkan gol yang benar-benar diperlukan Barca menjelang aksi kedua minggu depan.