COLOMBIA 1 QATAR 0

Tandukan Duvan Zapata pada penghujung permainan membolehkan Colombia mengatasi Qatar 1-0 untuk menempah tempat ke suku akhir Copa America, sebentar tadi.


Jaringan Zapata pada minit ke-86 sudah cukup untuk skuad bimbingan Carlos Queiroz itu menghuni tangga teratas Kumpulan B selepas sukar untuk mencari jalan menembusi permainan tersusun yang diterapkan skuad Qatar.

Radamel Falcao beraksi sebagai pemain gantian manakala impak James Rodriguez kelihatan begitu terhad, namun berjaya mengumpan jaringan kemenangan buat penyerang Atalanta itu.

Kemenangan itu menyaksikan Colombia memacu Kumpulan B dengan enam mata manakala Qatar sekadar mengutip satu mata.

Colombia memiliki peluang mendahului permainan pada minit keenam menerusi Yerry Mina, namun pengadil menolak jaringan tersebut apabila Roger Martinez berada di kedudukan ofsaid.

Mereka sekali lagi ditawarkan peluang mendahului permainan pada mint ke-13, namun Rodriguez yang menanduk hantaran Martinez gagal menepati sasaran.

Colombia mengawal permainan -- memiliki 68 peratus penguasaan bola dalam separuh masa pertama -- tetapi bergelut untuk menembusi benteng ampuh Qatar.

Mereka akhirnya berjaya meledak gol ketika perlawanan berbaki empat minit, sekali gus menghantar skuad pimpinan Queiroz itu ke pusingan seterusnya.