BRAZIL 0 VENEZUELA 0

Brazil dinafikan oleh video bantuan pengadil (VAR) dua kali ketika The Selecao dikecewakan oleh Venezuela selepas perlawanan berakhir seri tanpa jaringan dalam saingan Copa America.


Herdikan dan siulan kedengaran di Arena Fonte Nova -- sama seperti di Sao Paulo minggu lalu -- berikutan persembahan hambar Brazil di Salvador, sebentar tadi.

Jaringan Roberto Firmino telah dinafikan kerana melakukan kekasaran dalam separuh masa pertama manakala jaringan jarak dekat Gabriel Jesus dan Philippe Coutinho dinafikan VAR sebagai melengkapkan perlawanan yang perlu dilupakan Brazil.

Keputusan itu menyaksikan saingan masih terbuka, dengan tuan rumah, Brazil, Peru dan Venezuela bakal merebut slot ke pusingan 16.

Brazil diejek ketika meraih kemenangan 3-0 ke atas Bolivia selepas separuh masa pertama yang hambar dan mereka membuka perlawanan dengan keamatan yang berbeza ketika berdepan Venezuela.

Arthur -- tersenarai dalam kesebelasan utama menggantikan Fernandinho -- berjaya melakukan lorongan kepada bintang Ajax, David Neres, namun percubaannya tersasar.

Venezuela kehilangan kawalan bola beberapa minit kemudian dan Richarlison mengambil peluang untuk melepaskan rembatan tetapi berjaya ditampan penjaga gol, Wuilker Farinez.

Ketika Brazil mempamer permulaan cemerlang, Venezuela memberi amaran menerusi Salomon Rondon -- satu-satunya pemain dalam skuad yang menjaringkan lebih daripada satu gol dalam Copa America -- namun tandukannya tersasar.

Brazil berjaya menembusi gawang menerusi Firmino enam minit sebelum tamat separuh masa pertama tetapi dibatalkan kerana melakukan terjahan ke atas Mikel Villanueva.

Jesus menggantikan Richarlison bagi aksi separuh masa kedua dan hampir mencipta impak ketika perlawanan melewati minit ke-60, bagaimanapun VAR menafikan jaringan penyerang Manchester City itu.

Kekecewaan mula meningkat di seluruh stadium serta The Selecao turut buntu mencari jalan menembusi Venezuela sehinggalah Coutinho hampir diangkat sebagai penjaring gol kemenangan, namun sekali lagi mereka dinafikan VAR kerana berada di kedudukan ofsaid.