Yerry Mina menjelaskan persiapan Colombia menghadapi saingan Copa America bermula dengan barisan pertahanan ampuh menjelang aksi kedua berdepan Qatar selepas merakamkan kemenangan 2-0 ke atas Argentina.

Ketua jurulatih, Carlos Queiroz, menggandingkan Mina dengan Davinson Sanchez untuk menyekat pergerakan Lionel Messi dan Sergio Aguero ketika Colombia meraih kemenangan dalam aksi pembukaan ke atas salah sebuah pasukan pilihan kejohanan.

Colombia meraih tiga mata menerusi jaringan Roger Martinez dan Duvan Zapata, Sabtu lalu, tetapi Mina menggariskan keutamaan permainan bertahan skuad Colombia.

"Perancangannya sangat jelas. Kami bermain dengan cara Colombia dan menutup setiap ruang yang terbuka. Permainan bertahan mantap yang dipamerkan membantu pasukan untuk melancarkan serangan.

"Bertahan sangat penting buat kami. Kami sentiasa meletakkan sasaran memastikan gawang tidak dibolosi."

Queiroz bimbang mengenai tahap kecergasan pemain tengah, Wilmar Barrios, selepas dia mengalami kecederaan lutut ketika berdepan Argentina.

Jefferson Lerma pula dalam status berjaga-jaga untuk menggantikan perancang Zenit itu jika gagal pulih sepenuhnya untuk berdepan Qatar awal pagi esok tetapi Barrios memberikan petunjuk positif.

"Memiliki pemain seperti Mateus Uribe dan Juan Cuadrado yang turut bertahan memastikan Argentina gagal mencipta jaringan.

"Saya mengalami kecederaan dalam separuh masa kedua. Saya telah menjalani beberapa proses latihan ringan dan segalanya kelihatan baik dan mampu untuk diturunkan dalam perlawanan seterusnya," katanya lagi.