ARGENTINA 1 PARAGUAY 1

Lionel Messi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti tetapi Argentina merenung penyingkiran di peringkat kumpulan selepas sekadar seri 1-1 dengan Paraguay, sebentar tadi.


Messi menyumbat jaringan pada minit ke-57 selepas Argentina ketinggalan kepada gol yang disudahkan Richard Sanchez di Belo Horizonte.

Penjaga gol Argentina, Franco Armani, mempamerkan aksi cemerlang apabila memastikan kedudukan kekal 1-1 apabila menampan keluar sepakan penalti Derlis Gonzalez pada minit ke-60.

Keputusan seri itu menyaksikan Argentina meraih mata pertama dalam Kumpulan B, namun kekal sebagai pasukan tercorot di belakang Colombia, Paraguay and Qatar.

Selepas tewas 2-0 kepada Colombia dalam aksi pembukaan, Argentina mempamerkan persembahan lebih baik, namun sukar mencari rentak apabila perlawanan kerap dihentikan kerana terjahan yang saling bertukaran di antara kedua-dua pasukan.

Messi memiliki peluang untuk meledak jaringan buat Argentina pada minit ke-34 tetapi sepakan percuma bintang Barcelona itu tidak memberikan sebarang masalah kepada penjaga gol Paraguay, Roberto Fernandez.

Ketika permainan lebih cenderung memihak kepada Argentina yang lebih kerap menyerang, Paraguay membuka jaringan sebelum tamat separuh masa pertama menerusi gol sulung Sanchez di pentas antarabangsa.

Pemain tengah Newcastle United, Miguel Almiron, yang melakukan larian daripada sayap kiri melakukan hantaran silang mencari Sanchez dalam kotak penalti.

Percubaan Lautaro Martinez menggegar palang enam minit selepas perlawanan bersambung tetapi ia merupakan detik yang membawa kepada jaringan penyamaan.

Argentina diberikan sepakan penalti selepas pengadil mendapatkan bantuan VAR, dengan ulang tayang menyaksikan bola terkena tangan Ivan Piris.

Messi tenang menyudahkan sepakan penalti itu untuk menyamakan kedudukan ketika mencetak jaringan yang ke-68 di pentas antarabangsa.

Argentina bakal membuat perhitungan dengan Qatar dalam aksi terakhir bagi merebut slot suku akhir, Isnin ini.