ARGENTINA 2 CHILE 1

Lionel Messi diarahkan keluar padang ketika Argentina menewaskan Chile 2-1 untuk meraih tempat ketiga Copa America selepas kedua-dua pasukan beraksi dengan 10 pemain dalam aksi penuh ketegangan di Arena Corinthians, awal pagi tadi.


Pemenang lima kali Ballon d'Or itu dilihat menjadi mangsa tolakan pemain Chile, Gary Medel, namun pengadil melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain pada minit ke-37 ketika Argentina sedang mendahului 2-0.

Messi membantu jaringan pembukaan Sergio Aguero pada minit ke-12, sebelum penyerang Juventus, Paulo Dybala, menggandakan kedudukan, namun separuh masa pertama ditamatkan dengan protes terhadap kad merah yang mengundang pertikaian itu.

Sebanyak 21 faul dikesan sepanjang babak pertama dan suhu perlawanan kekal panas dalam babak kedua apabila Chile dihadiahkan sepakan penalti sebelum sejam perlawanan yang disudahkan Arturo Vidal.

Aguero memberikan ancaman awal dengan percubaan yang sedikit tersasar pada minit ketujuh, namun dia menebus kesilapan itu selepas sepakan percuma rendah Messi yang terbias ke pemain Chile menemui penyerang Manchester City itu, yang tidak dapat dikejar penjaga gol lawan, Gabriel Arias, untuk menjaringkan gol dari sudut sukar.

Bintang Chile, Alexis Sanchez, terpaksa dikeluarkan gara-gara kecederaan paha sebelum Arias terpaksa melayangkan badannya untuk menyelamatkan percubaan jarak 18 ela Messi, namun tewas sekali lagi ketika Dybala mengawal bola daripada lorongan Giovani Lo Celso untuk menyungkitnya ke gawang lawan dari dalam kotak penalti.

Dybala melakukan voli kencang yang tersasar sebelum aksi dalam separuh masa pertama menjadi tidak terkawal selepas Medel menolak Messi dan pengadil melayangkan kad merah kepada kedua-dua pemain itu walaupun ia mendatangkan pertikaian daripada kedua-dua pasukan.

Separuh masa kedua bermula dengan permohonan sepakan penalti Argentina selepas Charles Aranguiz menjatuhkan Aguero, namun pengadil menganggap tiada kesalahan dilakukan dalam situasi itu.

Dia kemudian menghadiahkan sepakan penalti kepada Chile apabila Lo Celso melakukan terjahan lewat ke atas Aranguiz dan Vidal mudah menyelesaikan tugasan itu.

Lionel Scaloni memasukkan Angel Di Maria bagi menggantikan Dybala dan pemain sayap itu melakukan gelecekan yang melepasi beberapa pemain Chile sebelum melakukan hantaran kepada Aguero, yang menyepak lemah ke arah Arias, sebagai percubaan terakhir sebelum perlawanan ditamatkan.