Pertahanan kiri Uruguay, Diego Laxalt, tidak mahu rakan sepasukannya memandang rendah Jepun walaupun mereka memulakan saingan dengan penuh bergaya.

Memiliki kelebihan menerusi kad merah yang dilayangkan kepada Jose Quinteros, Uruguay bermula cemerlang apabila merakamkan kemenangan 4-0 ke atas Ecuador.

Status Jepun sebagai pasukan jemputan tidak diambil mudah apabila Chile mengatasi mereka 4-0 di Stadium Cicero Pompeu de Toledo, Selasa lalu.

"Saya tidak pasti. Kami hanya menyaksikan beberapa perlawanan Jepun. Mereka telah diatasi Chile dengan keputusan yang besar," kata Laxalt.

"Tetapi saya melihat mereka beraksi dengan keamatan yang tinggi, pantas dan memiliki barisan pemain berkualiti. Saya tidak melihatnya perlawanan yang mudah ketika berdepan mereka.

"Kami telah berdepan Jepun beberapa bulan lalu dan ia agak sukar," ujarnya.

Aksi persahabatan Oktober tahun lalu di Saitama berakhir dengan keputusan 4-3 memihak kepada Jepun, dengan Matias Vecino dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut.

Dengan ketiadaan Vecino kali ini ekoran kecederaan, pemain Arsenal, Lucas Torreira, dilihat sebagai pilihan terbaik untuk meneruskan misi merangkul gelaran Copa America tahun ini.

"Walaupun sebelum kami mula beraksi dalam saingan Copa America tahun ini, terdapat beberapa pihak yang berpandangan Uruguay sebagai pasukan pilihan.

"Kami bermain dengan cemerlang dalam perlawanan sebelum ini. Kami menjaringkan banyak gol tetapi ia tidak membuktikan apa-apa. Kami perlu fokus dan mencari kemenangan," katanya lagi.