Ketua jurulatih Qatar, Felix Sanchez, beranggapan kekalahan 1-0 kepada Colombia pada penghujung permainan dalam saingan Copa America amat mengecewakan selepas juara Asia itu hampir mencipta satu lagi keputusan mengejut.

Selepas bangkit daripada ketinggalan dua jaringan untuk seri 2-2 dengan Paraguay dalam aksi pembukaan Kumpulan B, pasukan jemputan, Qatar, hampir meraih satu lagi mata sehinggalah Duvan Zapata memecah kebuntuan pada minit ke-86.

Zapata menghancurkan hati rakyat Qatar empat minit sebelum tamat waktu permainan di Sao Paulo, di mana penyandang juara Piala Asia itu tewas buat kali pertama sejak aksi Piala Negara-Negara Teluk pada Disember 2017.

Bercakap dalam sidang media pasca-perlawanan, Sanchez berkata, "Ia membuat kami sangat sedih kerana perlawanan hampir tamat.

"Menjaringkan gol pada penghujung permainan, ketika perlawanan terikat... Anda mengalami satu perasaan yang pedih tetapi anda perlu menilai kebolehan lawan kami.

"Kami berdepan salah sebuah pasukan terbaik dunia. Di sebalik kekalahan ini, kami berjuang hingga wisel penamat. Ini akan memberikan kami semangat untuk terus berusaha pada masa akan datang," katanya.

James Rodriguez -- dilaporkan akan menyertai Napoli dari Real Madrid -- yang melakukan bantuan jaringan untuk Zapata ke atas penganjur Piala Dunia 2022 itu berkata, "Kami bermain dengan baik. Kami berada di landasan yang tepat. Apabila pasukan anda dibarisi oleh Radamel Falcao dan Zapata, anda akan mendapatkan gol."

Jaringan Zapata menyaksikan Colombia merakamkan dua kemenangan,sekali gus mara ke suku akhir Copa America.