BOLIVIA 1 PERU 3

Aksi cemerlang Paolo Guerrero mencetus inspirasi kebangkitan Peru dalam saingan Copa America selepas meraih kemenangan 3-1 ke atas Bolivia di Maracana.


Peru gagal menemui sentuhan penyudah ketika seri tanpa jaringan dengan Venezuela dalam aksi pembukaan Kumpulan A dan skuad kendalian Ricardo Gareca itu ketinggalan menerusi jaringan ke-18 Marcelo Martins di pentas antarabangsa di Rio de Janeiro, awal pagi tadi.

Martins membuka jaringan pada minit ke-28 menerusi sepakan penalti untuk membenarkan Bolivia -- yang tewas 3-0 kepada tuan rumah, Brazil -- mendahului permainan sebelum bintang dan kapten Peru, Guerrero, menyamakan kedudukan sebelum tamat separuh masa pertama.

Guerrero kemudian melakukan bantuan jaringan buat Jefferson Farfan pada minit ke-55 sebelum pemain gantian, Edison Flores, menyaksikan Peru mendahului perlawanan 3-1 pada penghujung permainan.

Peru mengawal permainan sejak awal, namun bergelut untuk menghasilkan peluang selepas peserta Piala Dunia 2018 itu dikejutkan dengan jaringan pembukaan Bolivia.

Bola terkena tangan pemain Peru, Carlos Zambrano, pada minit ke-24 dan ia telah disahkan menerusi VAR sebelum Martins menyempurnakan sepakan penalti.

Ketika perlawanan hampir tamat dalam separuh masa pertama, Peru menyamakan kedudukan. Christian Cueva bijak melakukan larian sebelum melakukan hantaran buat Guerrero yang tenang menggelecek melepasi penjaga gol, Carlos Lampe, sebelum menjaringkan gol.

Farfan meletakkan Peru mendahului permainan 10 minit selepas perlawanan bersambung hasil hantaran yang dilakukan oleh Guerrero.

Bolivia memiliki peluang terbuka untuk kembali mengikat kedudukan tetapi Erwin Saavedra gagal menampan masuk gol sebelum Peru memastikan kemenangan pada minit ke-96.