ARGENTINA 0 COLOMBIA 2

Colombia menambah kesengsaraan Lionel Messi dan Argentina apabila menang 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Copa America, awal pagi tadi.


Finalis 2015 dan 2016 itu turun dengan tekad mengakhiri penantian untuk menjulang trofi antarabangsa pertama sejak 1993.

Argentina bermula dengan aksi garang di Arena Fonte Nova, Salvador, sebelum tersentak apabila percubaan pemain gantian, Martinez, melepasi jangkauan Franco Armani disusuli jaringan Zapata.

Argentina, yang masih segar daripada membenam Nicaragua 5-1 dalam aksi pemanas badan serta memiliki reputasi kemenangan terbanyak dalam sejarah (119), bagaimanapun gagal menyerlahkan reputasi itu.

Martinez -- yang masuk untuk menggantikan Luis Muriel pada minit ke-14 -- saling bertukar hantaran dengan Radamel Falcao tetapi percubaannya sedikit tersasar untuk Colombia terlebih dahulu melancarkan asakan.

Secara keseluruhannya, aksi pembukaan 45 minit itu gagal mencuri perhatian penyokong apabila tiada satupun percubaan tepat dilancarkan kedua-dua pasukan manakala Messi turut tenggelam.

Aksi hampir serupa berulang dalam babak kedua sebelum penjaga gol Colombia, David Ospina, dituntut untuk menampan rembatan Leandro Paredes selepas sejam permainan.

Perlawanan bertukar tegang seketika berikutan terjahan Juan Cuadrado ke atas Messi sehingga mendorong pemain-pemain Argentina bergegas mengerumuni pemain sayap tersebut.

Situasi itu mencetuskan semangat Argentina dan mereka hampir mendahului melalui tandukan kencang Nicolas Otamendi yang memaksa Ospina merebahkan badannya sementara Messi pula gagal menterjemahkan satu peluang bola muntah.

Begitupun, Colombia memecah kebuntuan dengan baki 19 minit permainan apabila Martinez mengutip bola di bahagian sayap sebelum mengatasi Armani dari jarak jauh dan seorang lagi pemain gantian, Zapata, melebarkan kedudukan kepada 2-0 dari jarak dekat ketika permainan berbaki empat minit.