JEPUN 0 CHILE 4

Usaha Chile untuk melakar hatrik Copa America 2019 bermula dengan kemenangan 4-0 ke atas Jepun di Sao Paulo, sebentar tadi.


Eduardo Vargas menyumbat dua gol selepas Erick Pulgar menutup babak awal dengan 1-0, disusuli jaringan Alexis Sanchez lapan minit menuju masa kecederaan dan gol penutup Vargas untuk selesa di puncak Kumpulan C.

Jepun, yang mengetengahkan skuad muda dalam kejohanan itu, mempunyai beberapa peluang tetapi tumpul di bahagian serangan.

Pasukan jemputan itu memulakan permainan dengan bertenaga apabila kelibat Takefusa Kubo, yang diikat Real Madrid minggu lalu, menjadi sandaran utama.

Kubo melepaskan satu sepakan percuma pada minit ketujuh sebelum Naomichi Ueda membuat percubaan yang menuju ke arah penjuru gawang Chile yang dikawal Gabriel Arias.

Selepas setengah jam permainan, Chile mula mendapat rentak yang menyaksikan Sanchez membuat dua percubaan dan dominasi mereka itu meraih ganjaran menerusi gol tandukan Pulgar pada minit ke-41.

Jepun hampir bertindak balas dengan segera tetapi Ayase Ueda melepaskan tendangan liar selepas menggelecekkan Arias manakala tandukan Sanchez tepat menuju ke dakapan Keisuke Osako.

Chile menggandakan kedudukan sembilan minit memasuki babak kedua menerusi sentuhan Vargas untuk gol antarabangsanya yang ke-37.

Sekali lagi, Ueda mensia-siakan peluang dan kali ini gagal menyempurnakan hantaran silang Gaku Shibasaki.

Jepun tetap mencari jalan untuk memadamkan defisit gol dengan Kubo juga memiliki peluang tetapi selepas menyusup ke dalam kotak penalti, rembatannya sekadar singgah di tepi jaring.

Sebaliknya, Chile menutup kemenangan dengan dua lagi gol terhasil pada penghujung perlawanan menerusi Sanchez dan Vargas.

Sanchez menanduk masuk hantaran lintang Aranguiz sebelum membuat umpanan kepada Vargas yang melambungkan bola melewati Osako yang terburu-buru keluar dari pintu golnya.