CHILE 0 URUGUAY 1

Edinson Cavani meledak gol kemenangan ketika Uruguay mengesahkan kedudukan di puncak Kumpulan C, Copa America 2019 selepas mengatasi juara dua kali berturut-turut, Chile, 1-0 di Maracana, sebentar tadi.


Chile meniti di landasan tepat untuk melangkah ke peringkat suku akhir sebagai juara dengan syarat hanya perlu seri tetapi hasrat itu tidak kesampaian susulan tandukan tipis Cavani melewati Gabriel Arias, lapan minit menuju penghujung perlawanan di Rio de Janeiro itu.

Tandukan Cavani itu menyaksikan Uruguay melonjak di atas Chile untuk menempah pertemuan dengan Peru dalam suku akhir.

Bermain di depan lautan merah penyokong di Rio, Chile menikmati deretan peluang menarik dalam tempoh 45 minit awal permainan dengan ancaman daripada Charles Aranguiz dan Alexis Sanchez memaksa Fernando Muslera sibuk di depan gawangnya.

Uruguay -- negara pertama yang muncul dalam 200 perlawanan Copa America -- melepasi benteng La Roja menerusi larian Luis Suarez sebelum penyerang itu menggelecek Arias tetapi ruang untuknya melakukan penyudah semakin sempit.

Situasi bola mati terus menjadi sandaran Uruguay dengan Martin Caceres sempat melepaskan percubaan liar daripada gerakan sepakan sudut, dua minit sebelum masa rehat.

Oscar Tabarez -- yang muncul sebagai ketua jurulatih pertama yang menjangkau 200 perlawanan bersama sebuah negara -- sementara rakan sejawatannya melakukan beberapa rombakan, namun Uruguay dan Chile mempamerkan aksi kurang kemas dalam babak kedua.

Mereka kurang gerakan kreatif untuk mengucar-ngacirkan benteng tetapi perlawanan itu tidak sunyi daripada aksi keras.

Jose Gimenez mematahkan tandukan bola muntah Paulo Diaz ketika permainan berbaki 20 minit sebelum gawang Chile dikejutkan apabila Cavani melonjak tinggi untuk mengatasi Jonathan Rodriguez di udara untuk jaringan pemisah pada minit ke-82.

Dalam aksi satu lagi aksi, Ecuador dan Jepun pulang tanpa kemenangan apabila pertemuan pelengkap jadual Kumpulan C itu berakhir 1-1.