Ketiadaan Neymar dalam skuad Brazil bagi saingan Copa America bukan alasan mereka seri tanpa jaringan dengan Venezuela di peringkat kumpulan, kata ketua jurulatih, Tite.

Tuan rumah, Brazil, telah dicemuh penyokong sendiri di Salvador selepas beberapa siri ulang tayang VAR menafikan jaringan yang dicetak oleh Gabriel Jesus, Philippe Coutinho dan Roberto Firmino.

Skuad kendalian Tite itu kekal mendahului Kumpulan A, cuma dipisahkan dengan perbezaan jaringan ke atas Peru dan kedua-dua pasukan bakal bertemu dalam aksi terakhir kumpulan Sabtu ini, dengan dua keputusan seri menyaksikan Venezuela kekal dalam persaingan merebut slot ke suku akhir.

Neymar mengalami kecederaan ligamen buku lali ketika aksi persahabatan dengan Qatar hingga memaksanya terlepas saingan Copa.

Walaupun Tite mengakui ketiadaan bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu dirasakan, dia percaya bakat yang dimiliki skuadnya sudah mencukupi.

"Mana-mana pasukan akan merindui Neymar. Dia dalam kalangan tiga terbaik dunia," kata Tite.

"Tetapi saya mahu bercakap mengenai pasukan ini. Mereka mampu bangkit. Kami perlu lebih konsisten, memperkemaskan lagi hantaran dan melakukan keputusan tepat.

"Brazil masih mampu meneruskan saingan tanpa Neymar atau mana-mana pemain yang lain," tegasnya.