BRAZIL 3 BOLIVIA 0

Philippe Coutinho menyumbang gol untuk Brazil membuka kempen Copa America dengan kemenangan 3-0 ke atas Bolivia di Sao Paulo, sebentar tadi.


Selepas kehambaran separuh masa pertama di Estadio do Morumbi, Coutinho dua kali menemui sentuhan pemusnah dalam tempoh lapan minit selepas memperkuatkan kesebelasan Brazil.

Video bantuan pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan dan tonggak Barcelona itu tidak melakukan kesilapan pada minit ke-50 untuk menyempurnakannya sebelum menjadikan kedudukan 2-0, tiga minit berselang.

Pemain gantian, Everton, melengkapkan kemenangan melalui rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-84 untuk skuad Selecao itu -- yang memenangi Copa America ketika empat kali bertindak sebagai tuan rumah pada 1919, 1922, 1949 dan 1989 -- untuk permulaan bergaya dalam Kumpulan A.

Turun tanpa bintang utama, Neymar, yang diketepikan ekoran kecederaan pergelangan kaki, Brazil mendominasi permainan tetapi bergelut untuk mencipta peluang menarik.

Tandukan liar Thiago Silva dan percubaan Casemiro antara aksi yang menghiasi kerja keras Brazil yang menguasai 77 peratus permainan dalam 45 minit pertama.

Sejurus wisel babak pertama ditiupkan, mereka menerima ejekan hebat di sebalik suasana tenang penyokong Brazil berikutan gagal menjelmakan persembahan meyakinkan ke atas Bolivia -- lawan yang telah dikalahkan sembilan kali dan dua seri dalam 11 perlawanan terakhir di tempat sendiri dengan menjaringkan 46 gol dan hanya dibolosi empat gol.

Begitupun, pemeriksaan VAR membantu mengurangkan ketegangan dan tekanan tersebut selepas Adrian Jusino didapati menampan bola di dalam kawasan penalti.

Coutinho memastikan sepakan penalti itu berhasil sebelum melengkapkan dua golnya dengan menyambut umpanan Roberto Firmino.

Brazil memadamkan ejekan awal yang diterima mereka dengan satu sorakan di barat daya Sao Paulo sebaik Everton menjaringkan gol jarak jauh yang menakjubkan ketika permainan bersisa enam minit.