Argentina berharap untuk bangkit semula dalam saingan Copa America ketika berdepan Paraguay di Belo Horizonte, awal pagi esok.

Skuad kendalian Lionel Scaloni itu tewas 2-0 kepada Colombia dalam aksi pembukaan Kumpulan B di Salvador, Sabtu lalu, dengan Lionel Messi sekali lagi menjadi kritikan utama kerana gagal mempamerkan aksi berkualiti di peringkat antarabangsa.

Pemenang Ballon d'Or lima kali, Messi, berharap Argentina kembali bangkit di Mineirao berdepan Paraguay yang terikat 2-2 dengan Qatar dalam aksi pembukaan.

Nicolas Burdisso, yang bermain bersama Messi dalam saingan Piala Dunia edisi 2006 dan 2010, kekal yakin dengan bintang Barcelona itu untuk memimpin Argentina menjuarai gelaran senior pertama sejak 1993.

"Dia seorang pemimpin pasukan ini. Messi mahu mencipta kemenangan bersama Argentina," kata Burdisso.

"Kami meletakkan harapan kepada Messi kerana dia adalah pemain terbaik dunia dan dihormati oleh setiap pemain."

Angel Di Maria berkemungkinan kehilangan tempat kepada Rodrigo De Paul selepas gagal beraksi cemerlang sementara Lautaro Martinez berkemungkinan menggantikan Sergio Aguero sebagai penyerang utama.

Pengendali Paraguay, Eduardo Berizzo, turut bercadang untuk mengubah corak permainan apabila mahu menurunkan Gustavo Gomez sebagai pertahanan tengah pasukan.

Paraguay kehilangan kelebihan mendahului 2-0 menerusi jaringan Oscar Cardozo dan Derlis Gonzalez tetapi Almoez Ali mengurangkan defisit jaringan sebelum jaringan sendiri Roberto Rojas menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi mata.