Copa America: Argentina kembali bernafas 

Oleh Staff Writer 24 Jun 2019 8769
Copa America: Argentina kembali bernafas 
QATAR 0 ARGENTINA 2 

Aksi lebih kemas daripada Argentina memastikan kemenangan 2-0 ke atas Qatar untuk mereka menghidupkan semula peluang ke suku akhir Copa America 2019 bagi mengiringi juara Kumpulan B, Colombia.


Pada malam ketika kekalahan bakal menyaksikan mereka tersingkir, Albiceleste jarang berdepan masalah di Gremio Arena, awal pagi tadi, setelah Lautaro Martinez memberikan gol pendahuluan pada awal permainan ekoran kesilapan Bassam Al Rawi yang memberikannya peluang terhidang untuk disudahkan. 

Ia bukanlah persembahan klasik Argentina, namun selepas kekalahan kepada Colombia dan seri dengan Paraguay dalam perlawanan awal, kemenangan itu mencetuskan kelegaan buat jurulatih, Lionel Scaloni, untuk melihat pasukannya menguasai sebahagian besar perlawanan bagi mengesahkan pertemuan dengan Venezuela di peringkat kalah mati. 

Sergio Aguero dan Lionel Messi memiliki deretan peluang untuk terus melebarkan kelebihan Argentina dan penggempur Manchester City itu mencetak nama selaku penjaring, lapan minit menuju masa kecederaan, untuk menyingkirkan juara Piala Asia 2019, Qatar, meskipun sempat memperagakan beberapa aksi mengagumkan.

Al Rawi yang cuba mengeluarkan bola dari kawasan bahaya mudah dipintas oleh Martinez yang hanya perlu menolaknya ke sudut bawah pintu gol untuk memberikan jaringan pendahuluan kepada skuad kendalian Scaloni itu dalam masa hanya empat minit.

Penjaga gawang gergasi Amerika Selatan itu, Franco Armani, kemudian dipaksa bekerja keras ketika menguis keluar lambungan Hassan Al Haydos yang menuju ke ruang sempit. 

Bagaimanapun, tuan rumah Piala Dunia 2022 itu jarang menghadirkan ancaman dan bernasib baik berikutan rembatan liar yang dilepaskan Aguero selepas menerima lorongan Messi yang menawarkannya peluang keemasan di penjuru kotak penalti. 

Aguero mensia-siakan tiga peluang dalam separuh masa kedua manakala Qatar terus bergelut untuk mengekangnya dengan benteng akhir, Saad Al Sheeb, cemerlang untuk menidakkan voli penyerang itu dari jarak dekat.

Al Sheeb sekali lagi menyelamatkan rembatan deras penggempur itu sebelum Messi melepaskan tendangan dari jarak 12 ela yang melepasi palang dengan pintu gol sudah pun terbentang luas.

Aguero akhirnya merakamkan gol apabila menggelecek Boualem Khoukhi sebelum melepaskan sepakan leret untuk mengesahkan kemaraan mereka.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen